Jumaat, 4 November 2016

Hadi tak kata runding dengan Pakatan Harapan... akhbar tambah, kata Nik Abduh


Nik Abduh Nik MatNik Abduh Nik Mat
Presiden Pas tidak pernah menyatakan kesediaan untuk berunding dengan Pakatan Harapan bagi memastikan formula satu lawan satu pada pilihan raya umum akan datang, jelas Ketua Pemuda PAS Nik Abduh Nik Abdul Aziz.
Malah menurut Ahli parlimen Pasir Mas itu, kenyataan Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa parti itu bersetuju dengan konsep satu lawan satu seperti yang diharapkan pembangkang lain untuk pilihan raya depan tidak merujuk kepada Pakatan Harapan.
"Beliau buat kenyataan umum bahawa Pas memang setuju kalau diadakan satu lawan satu, dua penjuru dan asasnya kita setuju.
"Namun perbincangan itu tidak merujuk kepada perbincangan Pakatan Harapan. Pakatan Harapan itu akhbar saja tambah," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.
Menurutnya, Pas hanya berminat untuk berunding dengan parti-parti lain secara spesifik dan hanya akan mengadakan rundingan dengan pihak yang tidak ada rekod buruk terutamanya ketika bersama dalam Pakatan Rakyat.
Beliau menambah, kenyataan yang dibuat Abdul Hadi tidak langsung menyebut DAP sebaliknya merujuk kepada pihak yang tidak pernah mengganggu urusan dalaman Pas.

"Seperti yang Ustaz Abdul Hadi kata semalam, perbincangan Pas adalah dengan parti yang tak kacau rumah tangga Pas.
"Apa yang media sebut akan ada kerjasama dengan Pakatan Harapan itu adalah kenyataan media, bukan Ustaz Abdul Hadi," katanya.
Menurut Nik Abduh beliau sendiri melihat klip video jawapan diberi Abdul Hadi yang disifatkannya sebagai "pendek saja".
"Kenyataan itu merujuk kepada parti-parti yang tak kacau rumah tangga Pas. Jadi kita tahu siapa yang kacau dahulu," katanya.
Ditanya pemberita mengenai kesediaan Pas berunding dengan DAP untuk memastikan pertandingan dua penjuru menghadapi BN, beliau menegaskan bahawa Pas tidak akan berunding dengan DAP.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA