Ahad, 27 November 2016

GHAH: Zunar ditahan walau kritik k'jaan bukan lagi kesalahan

Penahanan kartunis Zunar mengikut Akta Hasutan kerana mengkritik kerajaan bercanggah dengan pindaan dibuat pada akta itu tahun lalu, kata kumpulan Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH).
Peruntukan seksyen 3(1)(c) akta itu - yang menganggap mengkritik kerajaan sebagai perbuatan menghasut - dikeluarkan apabila pindaan diluluskan pada 10 April 2015 dan diwartakan pada 4 Jun tahun yang sama.
Bagaimanapun pada Mac lalu kerajaan berkata tidak ada tarikh ditetapkan untuk akta yang sudah dipinda itu dikuatkuasakan.
Penyelaras GHAH Amir Abd Hadi berkata penahanan Zunar menunjukkan kerajaan berada dalam keadaan terdesak hingga terus menakut-nakutkan rakyat menggunakan "akta zalim yang sudah tidak relevan" itu.
"Pindaan yang dibuat pada Akta Hasutan pada 10 April 2015 memotong keluar perenggan 3(1)(c) menjadikan kritikan terhadap kerajaan bukan lagi satu kesalahan di bawah Akta Hasutan. Kerja atau usaha menahan aktivis- aktivis hak asasi ini hanya akan melemahkan sistem demokrasi parlimen negara.
Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque ditahan polis semalam mengikut Akta Hasutan kerana menghasilkan kartun didakwa menghina Datuk Seri Najib Razak.
Pamerannya di Komtar dan dirasmikan Ketua Menteri Pulau Pinang pula diserang sekumpulan lelaki yang diketuai seorang pemimpin Umno negeri.
Zunar disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu tuduhan sengaja mengaibkan dan mencetuskan gangguan keamanan.
Mahkamah kemudian membenarkan Zunar direman sehari pagi tadi walaupun sebelum itu polis memohon supaya dia dibenarkan ditahan selama empat hari.

Amir berkata tindakan kerajaan menahan Zunar adalah petanda bahawa pihak berkuasa akan terus menggunakan peruntukan akta berkenaan bagi menyekat kebebasan rakyat bersuara walaupun mereka pernah berjanji untuk menghapuskannya pada 2012.
Sebagai langkah seterusnya, Amir berkata, GHAH akan melancarkan kempen besar-besaran pada Disember ini bagi mendesak kerajaan berhenti menggunakan Akta Hasutan dan memansuhkan segera akta berkenaan.
"Zunar merupakan seorang pelukis yang mendapat pengiktirafan dunia.
"Amat malang apabila pemenang Anugerah Kartunis Keamanan Sedunia ini diperlakukan sedemikian.
"Beliau juga adalah seorang pejuang hak demokrasi yang harus dihormati kerana memainkan tanggungjawab yang besar dalam membantu kearah proses demokrasi yang matang," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA