Ahad, 6 November 2016

'Geramm kesal baju merah tidak hormat media'

Gerakan Media Merdeka (Geramm) ingin meluahkan rasa kesal dengan cara gerakan baju merah yang dilihat bersikap agak kasar dengan warga media yang membuat liputan demonstrasi mereka di ibu pejabat Malaysiakini di Petaling Jaya semalam.
Dalam kenyataannya, Geramm menerima beberapa laporan termasuk satu video yang menunjukkan seorang wartawan dituduh dan dimarahi oleh peserta kumpulan baju merah yang menutup muka.
"Dalam demonstrasi tersebut, beberapa ahli kumpulan baju merah turut menyalahkan petugas media yang dikatakan menghalang pergerakan peserta penunjuk perasaan ketika menghampiri garisan Polis.
"Geramm dalam perjuangan kami sentiasa menyokong hak mana-mana petugas media untuk menjalankan tugas dan menyeru semua pihak menghormati hak berkenaan," katanya lagi.
Geramm (dahulu dikenali sebagai Gerakan Media Marah) adalah perikatan longgar wartawan, wakil dan aktivis media yang memperjuangkan kebebasan media dan pengamalnya.
Gerakan baju merah semalam mengadakan himpunan berdekatan pejabat Malaysiakini bagi mendesak portal berita tersebut ditutup.
Himpunan yang diketuai oleh Ketua Umno bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos itu dibuat ekoran dakwaan Malaysiakini mendapat dana daripada Open Society Foundation (OSF) yang dikaitkan dengan jutawaan Amerika Syarikat, George Soros.
Kehadiran petang semalam dianggarkan sekitar 700 orang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA