Khamis, 3 November 2016

Gangguan seksual: Jangan salahkan pelajar, guru perlu kawal diri, kata PAGE

Noor Azimah berkata, tumpuan perlu diberikan kepada kanak-kanak yang menjadi mangsa dan sebagai orang dewasa, guru perlu matang dan bertanggungjawab.
azimah-rahim-1
PETALING JAYA: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) tidak sepatutnya menyalahkan pelajar yang merupakan mangsa sebenar dalam kes gangguan seksual membabitkan guru, kata Kumpulan Bertindak Ibu Bapa Bagi Pendidikan Malaysia (PAGE).
Pengerusi PAGE, Datin Azimah Rahim mengulas tindakan Presiden NUTP, Kamarozaman Abd Razak menuding jari ke arah pelajar dalam sesetengah kes di mana guru, khasnya lelaki diganggu secara seksual oleh pelajar tingkatan 4 dan 5.
Kamarozaman meminta orang ramai memahami gangguan seksual bukan salah guru sahaja, susulan pendedahan Kementerian Pendidikan di Dewan Rakyat, pada Isnin lalu, terdapat 15 kes guru mencabul kehormatan pelajar antara 2010 hingga 2016.
Katanya, masalah bermula apabila guru dan pelajar jatuh cinta, jadi guru perlu kekal profesional dalam situasi sedemikian “kerana ia membabitkan emosi dan perasaan”.
Noor Azimah mengingatkan Kamarozaman yang kanak-kanak adalah mangsa sebenar dan guru perlu mempunyai kawalan diri lebih baik kerana mereka adalah orang dewasa.

“Kita perlu selesaikan isu satu persatu. Jangan tuding jari kerana kanak-kanak adalah mangsa sebenar di sini.
“Guru adalah orang dewasa. Mereka harus mempunyai kawalan terhadap perasaan dan emosi mereka. Sebagai orang dewasa, mereka perlu matang dan bertanggungjawab,” katanya kepada FMT.
Mei lalu, seorang guru dilaporkan didakwa mencabul 9 murid di sebuah sekolah Tamil di Hulu Selangor.
Kementerian Pendidikan berkata, guru yang terbabit dalam kes pencabulan kehormatan pelajar akan disiasat, sebelum dipindahkan ke daerah lain dan diletakkan di bawah pengawasan dan pemantauan Jabatan Pendidikan Negeri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA