Selasa, 22 November 2016

G25 desak Maria Chin dibebaskan serta-merta

Kumpulan itu berkata penahanan pengerusi Bersih 2.0 itu seolah-olah mempersendakan undang-undang perintah tertinggi.
g25
KUALA LUMPUR: Kumpulan G25 mendesak pembebasan Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah serta-merta.
Kumpulan 25 individu ternama itu juga mendesak semua fail, dokumen, komputer riba dan peralatan lain milik Bersih 2.0 yang dirampas polis, dipulangkan semula.
G25 berkata masyarakat umum mendesak untuk tahu apa aktiviti keganasan yang dilakukan Maria hingga dia dikenakan tahanan di bawah Sosma.
“Amat membingungkan dan ia jelas penyalahgunaan Sosma untuk menahan Maria di bawah undang-undang itu.
“Tindakan kerajaan perbuatan menindas dan mempersendakan keadilan perintah tertinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kumpulan itu berkata ia difahamkan Maria diletakkan dalam kurungan dan dilaporkan di dalam sel tanpa tingkat, 15 kaki x 8 kaki, tanpa katil, tilam atau bantal.
“Sukar hendak percaya kerajaan boleh tindas wanita yang tidak bersalah, ibu kepada 3 anak, dengan layanan kejam, tidak berperikemanusiaan seperti itu,” katanya.
Ia berkata Maria hanya menggunakan hak perlembagaannya iaitu kebebasan bersuara dan berhimpun secara aman.
Kenyataan itu berkata Malaysia selama ini berbangga sebagai negara bertamadun, ditadbir oleh kedaulatan undang-undang.
“Kita mempunyai perlembagaan bertulis yang menjamin antara lain, kebebasan bersuara dan berhimpun secara aman,” katanya.
Malangnya, layanan terhadap Maria mengingatkan kembali kepada rejim autoritarian dan diktator yang menindas rakyat.

Maria ditahan Jumaat lalu, pada malam sebelum himpunan Bersih 5, dan ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).
G25 berkata Seksyen 4(3) Sosma dengan jelas memperuntukkan, “Tidak ada sesiapa boleh ditangkap dan ditangkap di bawah seksyen itu hanya kerana kepercayaan politik atau aktiviti politiknya”.
Sejak 23 April 2012, di bawah Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012, syarat untuk mendapatkan permit daripada polis tidak lagi wujud.
Apa yang disyaratkan ialah penganjur perhimpunan aman memaklumkan kepada polis sekurang-kurangnya 10 hari sebelum himpunan aman menurut Seksyen 9(1) APA.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA