Isnin, 7 November 2016

Fuziah persoal penguatkuasaan lemah tangani isu bauksit

Ahli Parlimen Kuantan berkata, PTG seharusnya tahu jika masih wujud aktiviti perlombongan memandangkan ia terletak di bawah bidang kuasanya.
Fuziah-Salleh
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh mempersoalkan penguatkuasaan pihak berkuasa di kawasan perlombongan bauksit ekoran dakwaan kerja melombong masih dilakukan sedangkan moratorium masih berjalan.
Beliau berkata, Pejabat Tanah dan Galian Pahang (PTG) seharusnya tahu jika masih wujud aktiviti perlombongan memandangkan ia terletak di bawah bidang kuasanya.
“Tugas PTG adalah memastikan syarat-syarat moratorium dipatuhi. Timbul persoalan, jika masalah rasuah dan pelaku dalam jabatan sudah ditangkap, bukankah masalah penguatkuasaan tidak patut timbul?” soalnya ketika dihubungi FMT.
Beliau merujuk beberapa pegawai PTG yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Januari lalu atas dakwaan menerima suapan berjumlah RM100,000 hingga RM200,000 daripada pelombong bauksit haram.
Semalam, laporan New Straits Times memaparkan aduan beberapa penduduk Felda Bukit Kuantan yang mendakwa kegiatan perlombongan masih berjalan di sana, dan laporan yang dibuat terhadap perkara itu tidak dilayan.
Penduduk juga mendakwa penguatkuasaan hanya giat dijalankan ketika fasa pertama dan kedua moratorium, iaitu antara 15 Januari hingga 15 Julai.
Laporan itu turut memetik Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebagai berkata, beliau mengarahkan jabatan berkaitan untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri menjalankan siasatan.
Pengarah PTG Negeri Datuk Nazri Abu Bakar pula berkata siasatan sedang dijalankan dan akan merujuk Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Pahang untuk tindakan selanjutnya.
Fuziah berkata lagi, masalah timbul apabila beberapa syarikat yang diberikan lesen khusus mengeluarkan bauksit di kawasan perlombongan sepanjang tempoh moratorium turut melakukan perlombongan.
“Mereka diberikan lesen khusus untuk mengangkut bauksit ke pelabuhan dan mengeksportnya tetapi bauksit tidak berkurangan. Kemungkinan mereka turut melakukan perlombongan,” katanya.

Beliau menggesa kementerian menjalankan siasatan dan menyenaraihitamkan syarikat serta lesen mereka pada masa hadapan.
Beliau berkata kegagalan mengeluarkan bauksit secepat mungkin membawa risiko banjir lumpur di daerah itu, memandangkan musim hujan sudah semakin hampir.
“Tugas syarikat ini sebenarnya untuk mengeluarkan bauksit secepat mungkin ketika moratorium. Jika tidak, banjir lumpur akan melanda dan keadaan akan menjadi teruk,” katanya lagi.
Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar mengenakan moratorium ke atas semua kegiatan perlombongan bauksit di negeri itu selama 3 bulan bermula 15 Januari lalu.
Bagaimanapun, ia dilanjutkan tempoh moratorium sebanyak 3 kali, dengan kali terakhir sehingga 31 Disember ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA