Isnin, 7 November 2016

Elemen agama parahkan rasisme di Malaysia, kata Saifuddin

Katanya, orang Melayu diseru mempertahankan Islam dalam kerangka “minda terserang” sehingga tercetusnya kontroversi seperti kalimah Allah, rampasan Bible, isu salib, hudud, kafir harbi dan hot dog.
saifuddin-abdullah
PETALING JAYA: Rasisme di negara ini menjadi lebih parah apabila ia ditambah dengan elemen agama yang disediakan sesetengah pemimpin Umno dengan kerjasama tokoh agama, kata Datuk Saifuddin Abdullah.
Ketua setiausaha Pakatan Harapan itu berkata dalam tindakan itu mereka menyeru orang Melayu untuk mempertahankan Islam dalam kerangka “minda terserang” sehingga tercetusnya kontroversi seperti kalimah Allah, rampasan Bible, isu salib, isu hudud, kafir harbi dan yang terbaru – hot dog.
Menerusi kolumnya di Sinar Harian hari ini, Saifuddin berkata ada pihak yang mencadangkan supaya pendekatan kesederhanaan digunakan dalam menangani ekstremisme dan rasisme.
Bagaimanapun, katanya konsep itu perlu dipastikan tidak disalah erti sehingga yang moderat diserang dan dianggap ekstrem, manakala yang ekstrem bebas berleluasa dan malahan dianggap moderat.
“Kesederhanaan perlu dilaksanakan dalam semua bidang. Al-Quran menyediakan yang secukupnya. Ini termasuklah dalam soal rahmat untuk semua rakyat, kerjasama dalam masyarakat majmuk dan kebebasan beragama,” katanya dipetik daripada akhbar itu.
Bekas ketua pegawai eksekutif Gerakan Kesederhanaan Global itu berkata politik kaum yang berleluasa hari ini akibat amalan tawar menawar dan kompromi yang dibuat atas nama kaum, khususnya oleh BN, sedangkan kerjasama berasaskan kaum yang elitis sudah hilang relevansinya dan perlu diubah.

“Jawapan Umno/BN ialah menggantikannya dengan konfigurasi ‘dominan Bumiputera’, iaitu politik ras yang lebih ekstrem.
“Tetapi, jika pakatan Umno-Pas menjadi kenyataan, maka ia berkemungkinan menjadi konfigurasi ‘dominan Bumiputera/Muslim’, iaitu lebih ekstrem lagi,” katanya.
Katanya, akibat daripada gabungan itu ialah kemungkinan berlakunya keadaan di mana kita mempunyai kerajaan Bumiputera/Muslim dan pembangkang yang bukan Bumiputera/Muslim yang tidak baik untuk Malaysia.
“Jawapannya ialah menggantikan consociationalism dengan model centripetalism, iaitu yang berciri multi-ras/budaya, centrist, inklusif, moderat dan progresif. Barulah dapat dielakkan diskriminasi kaum dan ditegakkan perpaduan yang cergas,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA