Khamis, 10 November 2016

Ekonomi mungkin goyah, bank lebih berhati-hati lulus pinjaman

Antara faktor mengurangkan pertumbuhan pinjaman adalah jualan ringgit dan ketidakstabilan saham global selepas Donald Trump memenangi pilihan raya presiden Amerika Syarikat, semalam.
loans-malaysia-1
KUALA LUMPUR: Bank di Malaysia lebih berhati-hati ketika memberikan pinjaman, lapor Bloomberg.
Antara faktor yang mengurangkan pertumbuhan pinjaman adalah jualan ringgit dan ketidakstabilan saham global selepas Donald Trump memenangi pilihan raya presiden Amerika Syarikat, semalam.
Risiko pertumbuhan global juga mengurangkan hasrat syarikat Malaysia untuk meminjam dan berbelanja.
Ini boleh menjejaskan usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menggalakkan pertumbuhan ekonomi lebih besar, termasuk “mengepam” lebih banyak wang ke dalam sistem melalui Bajet 2017.
Pertumbuhan pinjaman mungkin merosot kepada sekurang-kurangnya 12 tahun terendah pada 2016, menurut unjuran AmInvestment Bank Bhd, Institut Penyelidikan RHB dan data yang dikumpul Bloomberg.
Menurut Bloomberg, ekonomi Malaysia goyah dengan ramalan Bank Dunia yang pertumbuhan ekonomi negara kurang daripada 5% dari 2016 hingga 2018.
Pengembangan mungkin tidak berubah pada 4% pada suku lalu, demikian menurut kajian Bloomberg, disebabkan kejatuhan harga komoditi yang mengurangkan perbelanjaan kerajaan dan pertumbuhan kredit yang lemah.
“Apa yang membimbangkan kita adalah kredit yang ketat,” kata Weiwen Ng, pakar ekonomi di Australia dan New Zealand Banking Group Ltd di Singapura.
“Hasrat untuk mendapatkan pinjaman kekal lemah, manakala bank-bank berhati-hati dengan pinjaman tidak berbayar, jadi mereka akan lebih berwaspada untuk memberi pinjaman.”
Pinjaman mungkin naik 5% hingga 6% tahun ini dan seterusnya, ramal AmInvestment.

Itu mungkin pertumbuhan paling perlahan sejak sekurang-kurangnya 2004, menurut data yang dikumpul Bloomberg. RHB Research menganggarkan pertumbuhan sebanyak 4.3% tahun ini.
“Korporat lebih berhati-hati dari segi pelaburan mereka dan pada masa sama, isi rumah agak berpengaruh, jadi pertumbuhan walaupun daripada sektor isi rumah juga perlahan,” Bloomberg memetik Fiona Leong, penganalisis Institut Penyelidikan RHB di Kuala Lumpur.
Kadar gadai janji juga semakin lemah berikutan langkah penyejukan bank pusat ke atas sektor hartanah, manakala pinjaman kereta sudah terjejas, kata penganalisis perbankan AmInvestment Bank di Kuala Lumpur, Kelvin Ong.
Pakar ekonomi di Credit Suisse Group AG di Singapura, Michael Wan berkata, prospek pertumbuhan Malaysia boleh dibantu pemulihan dalam harga komoditi dan kelonggaran dasar bank pusat tahun ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA