Khamis, 10 November 2016

Duterte: Hidup Trump, saya mahu berbaik semula dengan AS

Duterte berkata beliau marah dengan AS kerana melayan Filipina seperti anjing diikat di tiang.
trumpKUALA LUMPUR: Presiden Filipina Rodrigo Duterte mengucapkan tahniah kepada Donald Trump atas kemenangannya pada pilihan raya presiden Amerika Syarikat, dan berkata beliau kini akan menghentikan perkelahiannya dengan negara itu ketika berada di bawah pentadbiran Barack Obama.
Pemimpin yang diberi jolokan “Trump Timur” disebabkan kelantangan dan tabiat mengeluarkan kata-kata lucah, berulang kali mengecam Washington, dan mengancam membatalkan perjanjian pertahanan dan latihan ketenteraan bersama.
“Saya ucapkan tahniah kepada Donald Trump. Hidup,” kata Duterte ketika berucap dalam pertemuan dengan rakyat Filipina di Kuala Lumpur.
Duterte kini dalam rangka lawatan rasmi ke Malaysia.
“Kami berdua sering menyumpah. Untuk perkara remeh pun kami menyumpah. Saya sepatutnya berhenti kerana Trump. Saya tidak mahu berkelahi lagi, kerana Trump sudah menang.”
Duterte, calon yang asing daripada politik nasional, memenangi pilihan raya presiden Filipina pada Mei dengan majoriti besar, dan sering disamakan dengan Trump.
Beliau berkempen di atas dasar populis dan anti-pentadbiran, dan menarik perhatian rakyat biasa dengan janjinya memulihkan sebuah negara yang gagal.
Bagaimanapun, kejutan terbesar pentadbiran Duterte setakat ini ialah sikapnya terhadap Amerika Syarikat selepas peperangannya ke atas jenayah dadah mencetuskan kritikan mengenai pencabulan hak asasi.
Duterte semalam memberitahu rakyat Filipina mengenai kemarahannya terhadap Washington, dan berkata AS mengancam memberhentikan bantuan di samping menggambarkan layanan yang diberi kepada Filipina umpama seekor anjing diikat di tiang.

“Mereka berbicara seolah-olah kita tanah jajahannya,” kata Duterte.
“Kamu tidak beri kami bantuan, jahanamlah kami,” katanya memperingatkan komen pedas terhadap Obama.
Bakal duta Filipina ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Teddy Locsin Jr, berkata terdapat persamaan antara Trump, yang membuat kejutan selepas menewaskan Hillary Clinton semalam, dengan Duterte.
“Saya masih ingat Trump berkata, ‘Saya tidak akan bercakap begini selepas menjadi presiden’,” kata Locsin.
“Saya juga masih ingat seseorang yang mengatakan perkara sama.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA