Khamis, 24 November 2016

Dr Mahathir seperti pesakit kusta, kata Nazri Aziz

Menteri Umno itu berkata, Dr Mahathir dilihat membawa liabiliti kepada parti pembangkang lain dalam usaha mereka mendesak Najib melepaskan jawatan perdana menteri.
nazri-maha1PETALING JAYA: Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kini semakin takut untuk didekati mana-mana pihak, seumpama pesakit kusta, kata Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Menteri pelancongan dan kebudayaan itu berkata, Dr Mahathir dilihat membawa liabiliti kepada parti pembangkang lain dalam usaha mereka mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan.
“Dr Mahathir umpama orang ‘leprosy’. Orang takut nak dekat dengan beliau. Saya jelaskan kenapa Dr Mahathir liabiliti kepada pembangkang, sebab beliau tidak boleh menyertai parti pembangkang lain.
“Beliau tidak boleh sertai PKR, DAP, PAS atau Amanah. Kenapa beliau perlu tubuhkan partinya sendiri? Dari sini, saya boleh simpulkan yang beliau tidak boleh diterima parti lain,” katanya dalam temubual eksklusif bersama FMT.
Bekas perdana menteri yang mentadbir kerajaan selama 22 tahun itu kini menjadi pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) selepas memutuskan keluar Umno.
Perjuangan Dr Mahathir menentang Najib kini semakin jelas apabila beliau turut turun dalam 2 siri himpunan Bersih dan yang terbaru adalah Bersih 5 pada 19 November lalu.
Ahli Majlis Tertinggi Umno itu berkata, penyokong dan pemimpin parti pembangkang sendiri tidak yakin dengan hasrat Dr Mahathir untuk bersama dalam perjuangan mereka ekoran bimbang bekas presiden Umno itu mempunyai agenda peribadi.
“Bila beliau menjadi liabiliti, beliau hadiri (program), orang dan pembangkang tidak seronok sebab Dr Mahathir diibaratkan seperti satu sumpahan.
“Beliau nak sertai (program), tetapi orang akan fikir beliau tidak akan membantu. Pakai baju Bersih, orang hanya gelak. Ia lebih kepada komedi berbanding membantu perjuangan mereka.

“Disebabkan itu, saya percaya penyokong tidak ada di situ (sertai Bersih 5), sebab mereka rasa Dr Mahathir akan datang dan gunakan demonstrasi itu untuk kepentingan diri sendiri. Sebab itu jumlah tidak seperti dijangka,” katanya.
Malah, ahli Parlimen Padang Rengas itu menegaskan dalam diri Dr Mahathir kini hanyalah sifat marah ekoran cubaannya selama 2 tahun menjatuhkan Najib masih tidak berjaya.
“Selama 2 tahun beliau cuba menjatuhkan Najib tetapi ahli Umno dan rakyat masih tidak boleh percayakannya. Najib masih di situ (kekal). Jadi kita boleh katakan beliau hanyalah orang tua yang marah. Masa kini tidak memihak kepadanya dan disebabkan itu beliau terdesak,” katanya.

1 ulasan:

  1. Kata apa saja terhadap Tun realitinya najib mencuri duit rakyat melalui 1MDB. Sekarang kamu boleh mengata dengan perkataan yang tak baik terhadap Tun, kalau dah rakyat meluat terhadap najib, mereka boleh menghilangkan kuasa yang dimilikinya itu dengan kuasa rakyat. Tunggu....kamu akan jadi sejarah.

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA