Rabu, 16 November 2016

Dr Mahathir lagi lantang, jadi kenapa saya, soal Zaid

Dalam perjuangan, tidak boleh takut, kata bekas menteri undang-undang itu menjelang soal siasat polis terhadapnya hari ini.
zaid-mahathir-1
PETALING JAYA: Datuk Zaid Ibrahim mempersoalkan layanan polis yang dikatakan berat sebelah terhadapnya, sambil mengingatkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad jauh lebih lantang dalam mengkritik kerajaan.
Beliau mengulas keputusan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengambil keterangannya hari ini berhubung kenyataannya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Twitter yang disifatkan sebagai menghasut.
“Tun Mahathir lebih lantang mengkritik Najib, menyifatkannya sebagai penyamun dan pencuri, macam-macam lagi. Kenapa tidak ambil tindakan?
“Adakah kerana mereka takut kepada Mahathir, dan tidak takut kepada saya? Ini tidak adil. Najib dan Khalid perlu beri penjelasan,” katanya dalam wawancara bersama FMT.
Dr Mahathir sebelum ini pernah diarahkan memberi keterangan kepada polis, dan Jun lalu disoal selepas menyamakan Najib dengan pemimpin diktator Uganda, Idi Amin. Bagaimanapun, tiada pendakwaan dilakukan setakat ini.
Zaid yang merupakan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri dijadualkan memberi keterangan hari ini berkenaan dakwaannya Najib dan Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali sebagai “crooked” (jahat).
Ia berikutan keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar keputusan peguam negara berhubung siasatan kes SRC International (SRC) dan dana RM2.6 bilion yang dimasukkan dalam akaun peribadi Najib pada 2013.
Najib dan pemimpin Umno mendakwa wang itu merupakan sumbangan kerajaan Arab Saudi kepada Umno dan sudah dipulangkan, sambil menafikan ia merupakan sebahagian dana berkait 1MDB.
Macam koboi

Zaid berasa hairan dengan arahan Khalid, memandangkan beliau “hanya rakyat biasa” dan bukannya pemimpin parti politik yang berpengaruh.
“Saya hanya nyatakan pandangan terhadap pemimpin negara. Jika saya memuji Najib, tentunya tidak dianggap menghasut. Nampaknya rakyat negara ini hanya boleh memiliki pandangan yang sehala.
“Inilah malangnya apabila kita ada ketua polis negara yang berlagak seperti ‘sheriff’ dalam cerita koboi,” katanya.
Zaid berkata akan menjawab setiap soalan polis hari ini secara berterus-terang dan tanpa berselindung.
“Dalam perjuangan ini, kalau takut sana, takut sini, kita tidak boleh berjuanglah,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA