Isnin, 7 November 2016

DR M LWN NAJIB: ‘TAK PERLU MOHON MAAF, MEMBUAT JUSTIFIKASI ATAU BERASA INFERIOR’


MOHON izin. Sekadar sebuah catatan.
Sejak saya dipilih menganggotai Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada 2 November lalu, saya terperanjat tetapi gembira mendapati begitu ramai anak buah dan rakan seperjuangan saya dalam dunia kewartawanan yang bersimpati dengan perjuangan PPBM.
Malah ramai memberitahu saya, sama ada secara peribadi atau melalui pesanan elektronik, bahawa mereka telah mendaftar sebagai ahli PPBM yang lebih dikenali dalam masyarakat sebagai Bersatu.
Sebilangan mereka pula telah secara sukarela membentuk pasukan untuk memberi kerjasama kepada PPBM menggunakan kepakaran mereka dalam bidang kewartawanan dan komunikasi.
Salah seorang daripada mereka yang dulunya setiausaha akhbar seorang menteri Umno berbisik memberitahu dia sekarang membantu mendaftarkan ahli PPBM di kawasannya.
Kepada yang masih bekerja dengan media kerajaan dan arus perdana, saya faham kedudukan mereka. Tidak perlu mohon maaf, membuat justifikasi atau berasa inferior. Saya faham sekarang kadar pengangguran sedang meningkat – lebih 515,000 kini menganggur – dan kalau diberhentikan susah hendak dapat kerja gantian.
Apa pun, saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada mereka dan berharap dengan bantuan mereka perjuangan kita menyelamatkan Malaysia dan membawa perubahan kepada rakyat jelata akan lebih mudah berjaya.
Saya faham bukanlah mudah bagi mereka mengubah arah tujuan dan set minda setelah sekian lama berkhidmat atas landasan Umno di mana saya mengaku saya sendiri yang “membawa” mereka ke arah itu.
Tetapi saya yakin mereka sendiri telah sedar bahawa apa yang mereka perjuangkan dahulu bukan lagi asas kepada tindak tanduk kerajaan yang ada hari ini. Keadaan telah berubah. Perjuangan, kalau masih ada, hanyalah untuk kantung sendiri saja. Cogan kata untuk agama, bangsa dan negara setakat penyedap mulut saja.
Apa yang kita bina dahulu bukan lagi acuan yang diguna pakai hari ini. Malah seperti kita baca, sebaliknya yang sedang berlaku. Legasi perjuangan kita sedang dimusnahkan.

Alhamdulillah, saya telah berjumpa dengan sesetengah daripada mereka. Jadi buat sementara waktu ini, saya terpaksa berpuas hati dengan berhubung melalui ruang siber.

Tiada celanya berkomunikasi melalui saluran siber kerana ia lebih bebas, mudah dan murah daripada melalui saluran tradisional seperti surat khabar, radio dan televisyen yang semakin disisihkan. Ada yang hendak bayar gaji wartawan pun terpaksa mengemis.
Rakan-rakan dan sesiapa juga yang ingin menghubungi saya bolehlah menghantar pesanan sulit dan persendirian (P&C) melalui blog ini. Saya tidak akan menyiarkannya. Minta maaflah saya tidak ada pejabat atau setiausaha. Semua buat sendiri.
Nota: Saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada rakan seperjuangan di Berita Harian, Tuan Haji Amir atas pesanannya kepada saya. Kalau saya berada di sekitar Kuala Kangsar dan Taiping Insya-Allah kita akan minum teh bersama-sama ahli PPBM.
Wallahuaklam.

Kadir Jasin

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA