Rabu, 2 November 2016

Dewan Rakyat kecoh isu soal siasat polis terhadap ahli Parlimen

Ahli Parlimen pembangkang meminta polis menghormati kekebalan yang diberikan kepada mereka untuk bercakap dalam Dewan Rakyat.
gobind-1mdb-1
KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini menjadi kecoh apabila ahli Parlimen mempersoalkan siasatan polis terhadap 3 bekas menteri Umno yang membangkitkan perkara berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Tiga menteri berkenaan adalah Tan Sri Muhyiddin Yassin (PPBM-Pagoh), Datuk Seri Shafie Apdal (Warisan-Semporna) dan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah (Umno-Tambun).
Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) berkata, terdapat imuniti bagi ahli Parlimen untuk bercakap di Dewan Rakyat.
“Kami mempunyai imuniti apabila bercakap, selain perkara di bawah Akta Hasutan. Selain daripada itu, pihak polis tidak boleh bertindak,” kata Gobind.
M Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) bertanya kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi agar menghormati Dewan dan mengambil kenyataan daripada semua bekas menteri itu selepas tamat sidang pada 25 November.
“Mengapa pihak polis tidak boleh menunggu sehingga akhir sidang Parlimen sebelum merakam (kenyataan)? Sekurang-kurangnya hormati Dewan.”
Kulasegaran berkata, tindakan polis itu menimbulkan persepsi yang ia mengancam ahli Parlimen dan tidak menghormati keistimewaan Parlimen.
Che Mohamad Zulkifly Jusoh (Umno-Setiu) mencelah dan mempertahankan tindakan polis mengambil kenyataan daripada semua bekas menteri itu.
Beliau memetik Perkara 63 (4) dan 63 (2) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan keistimewaan tidak mutlak dan ahli Parlimen tidak bertanggungjawab atas tindakan atau ucapan yang merupakan sebahagian daripada prosiding Parlimen.
“Bagaimanapun, ia tidak mengatakan (polis) tidak boleh merekodkan kenyataan.”
Gobind segera berdiri dan berkata: “Pihak polis tidak boleh menyiasat jika tidak ada sebarang kesalahan.”
Zahid yang juga menteri dalam negeri, menjawab kenyataan polis akan diambil bagi kemungkinan pelanggaran sumpah kerahsiaan.

“Sesiapa sahaja yang melakukan sumpah kerahsiaan atau memegang jawatan awam tidak boleh membangkitkan isu-isu di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).
“Hak istimewa Parlimen tidak diperluaskan kepada perkara di bawah OSA.”
Zahid berkata, 15 laporan polis dibuat pada 28 Oktober terhadap Husni, Muhyiddin dan Shafie. Ketiga-tiga mereka dipanggil untuk kenyataan mereka direkodkan.
Beliau juga berkata, peguam negara akan menentukan jika terdapat kesalahan.
Shamsul Iskandar Mohd Akin (PKR-Bukit Katil) kemudian meminta pengasingan kuasa, yang ditegaskan Zahid polis hanya mengambil keterangan daripada ahli Parlimen, sambil menambah bukan satu kesalahan mengambil kenyataan.
“Ia tidak dianggap terdapat sebarang kesalahan dilakukan, ia juga bukan penangkapan. Polis hanya mengambil keterangan.
“Bagi Husni, polis menggunakan budi bicara mereka untuk menangguhkan rakaman kenyataan beliau.”
Husni dipanggil oleh pihak polis pada 31 Oktober tetapi soal siasat itu kemudian ditangguhkan. Tindakan itu dipercayai berhubung ucapannya di Parlimen berkenaan 1MDB.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA