Isnin, 21 November 2016

DEMO BERSIH 5 & NASIB MALANG PAS

Demonstrasi Bersih 5 berakhir dengan kehadiran lebih ramai peserta berbanding sebelum ini tanpa kehadiran Pas. Pakatan Harapan dapat keuntungan sudut politik kerana nampak kesatuan pembangkang dan peka dengan hasrat rakyat mahukan Najib turun dan tuntutan pilihanraya bersih. Berbeza dengan Pas mendapat imej negatif kerana lebih awal mengharamkan kehadiran ahlinya menyertai siri demo Bersih kali ini.
Selesai sahaja Bersih 5, Pas gagal mempastikan pimpinan khususnya Ahli parlimen dan Adun Pas tidak menyertai demonstrasi Bersih 5 ini. Gambar-gambar diviralkan membuktikan Ahli Parlimen Pokok Sena, Pasir Puteh dan Kubang Kerian telah hadir dalam program tersebut. Sekiranya pimpinan Pas sendiri turun berdemonstrasi, maka masih ada lagi yang berani melanggar arahan pimpinan atasan. Adakah masih ramai golongan harummanis seumpama mereka ini dalam pas sekarang? Pastinya jawapan : Ya.
Pas atasan sudah hilang wibawa kerana gagal mentarbiyah pimpinan bawahan aspek taat dan walak. Tindakan memecat Dato Husam seolah-olah tidak juga berkesan untuk menakut-nakutkan pimpinan bawahan supaya sami'na wa ata'na (kami dengar dan kami patuh) tanpa banyak soal.
Ahli-ahli semakin keliru maksud mengkritik dasar parti dikatakan seolah-olah mengkritik ulama. Walaupun kenyataan pimpinan atasan itu sendiri yang sering menimbulkan fitnah kepada parti dengan mendakwa PM sekarang adalah pemimpin Islam yang haram dijatuhkan. Akhirnya pimpinan bawahan membuat keputusan sendiri mengikut ijtihad arwah Tok Guru Nik Aziz dulu.
Tidak hairan sekiranya kedengaran label munafiq akan diberikan kepada pimpinan dan ahli Pas yang hadir menyertai demo Bersih 5 ini. Jawatankuasa disiplin parti mungkin dituntut bersidang dalam masa terdekat untuk menentukan tindakan sewajarnya dikenakan ke atas ketiga-tiga ahli parlimen tersebut.

Persoalannya adakah tindakan menghadapkan pimpinan tersebut ke tindakan disiplin adalah wajar dan patut? Cukuplah apa yang telah berlaku kepada Dato Husam sebagai satu pengajaran. Serangan demi serangan dari Dato Husam sekarang sudah amat parah untuk diperbetulkan dan diperjelaskan khususnya berkaitan tentang isu-isu kerajaan negeri Kelantan kini.
Perbetulkan dahulu dasar dan imej buruk parti sekarang. Tidak cukup hanya beri arahan demi arahan tetapi hendaklah pastikan arahan tersebut logik dan tidak bercanggah dengan ketetapan sebelum ini khususnya semasa arwah Tok Guru Nik Aziz.
Peluang masih ada untuk Pas berada dalam.saf pembangkang tanpa perlu menyertai Pakatan Harapan bagi mengelak dilihat menjilat kembali ludah sendiri. Apa yang penting, sanggup berunding ke arah memastikan Pas dilihat penyumbang ke arah kemenangan pembangkang ke Putrajaya, bukannya sebagai pemecahbelah undi pembangkang untuk teruskan penguasaan PM sekarang di Seri Perdana.

1 ulasan:

  1. PASmemang parti malang sejakkeluar dari PR. Next election, kelantan jatuh ke tangan BN

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA