Khamis, 24 November 2016

Dataran Merdeka terus dipenuhi peserta vigil untuk malam ke-3

Peserta mendengar ucapan dan menyanyikan lagu patriotik dalam usaha memberi tekanan untuk membebaskan Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah.
vigil-maria
KUALA LUMPUR: Nyalaan lilin atau “vigil” bagi mendesak pembebasan Maria Chin Abdullah daripada tahanan polis di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) diteruskan untuk malam ketiga berturut-turut semalam.
Jumlah hadirin pada malam ini hampir sama dengan 2 malam sebelumnya, walaupun mereka terpaksa berhimpit di jalan raya sekitar Dataran Merdeka.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menutup kawasan terbabit mulai 22 hingga 29 November ini, dari 5 petang hingga 7 pagi, tanpa menyatakan sebab.
“Vigil” yang akan berterusan setiap malam merupakan usaha menambah tekanan ke atas pihak berkuasa untuk membebaskan pengerusi Bersih 2.0 itu.
Mereka turut beramai-ramai menyanyikan lagu patriotik diselangi ucapan beberapa aktivis dan ahli politik.
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memberi amaran kepada Bersih 2.0 supaya “tidak mencabar polis” dan tetap perlu menghantar notis bagi mengadakan himpunan malam itu.
Aktivis Hishamuddin Rais menyifatkan tuduhan Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa, mengaitkan Maria dengan Agensi Perisikan Pusat (CIA), sebagai taktik “kitar semula” yang tidak akan berjaya.
Beliau bertambah marah apabila dakwaan itu turut mengaitkan suami Maria, Yunus Ali yang sudah meninggal dunia.
“Dulu Anwar Ibrahim (diserang tuduhan sama).
“Ini semua cerita sama yang sudah lapuk,” katanya disambut sorakan hadirin semalam.

Annuar mendakwa Maria mempunyai kaitan dengan CIA, menerusi penglibatannya dengan NGO bersama Yunus, termasuk National Institute for Electoral Integrity (NIEI) yang menurutnya dinaungi National Citizens’ Movement for Free Electons (NAMFREL) dan Asian Network for Free and Fair Elections (ANFREL) yang didakwanya sebagai “alat CIA”.
Yunus merupakan pengasas NIEI dan pernah menyertai skuad komando Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) yang diketuai Yasser Arafat.
Sementara itu, Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata, Maria tidak sepatutnya dianggap pengganas hanya kerana memperjuangkan demokrasi.
“Dia hanya mahu selamatkan Malaysia,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA