Jumaat, 18 November 2016

Daripada ke Mekah, Dr Mahathir pilih berjuang

Daripada sejarah pemilihan Malaysia, hanya parti serpihan Umno sahaja yang boleh mengalihkan sokongan penduduk Melayu luar bandar.
mahathir-politics-1
Oleh Yunus Tasim
Banyak reaksi yang saya terima daripada artikel saya, “Kami dah lelah dengan politik Malaysia”. Daripada muda sampai tua, lelaki dan wanita sama ada yang berkarier mahupun yang pencen atau suri rumah sepenuh masa.
Satu yang menarik ialah keprihatinan mereka terhadap keadaan semasa dan masa depan negara, menunjukkan kecelikan mereka terhadap media sosial.
Banyak yang setuju dengan luahan rasa kelelahan dan kecewa itu. Kecewa dengan pemimpin yang korup dan terus menyalahgunakan kuasa. Kecewa dengan pemimpin yang terus memperbodoh dan membohongi rakyat. Kecewa dengan kaki bodek dan kaki kipas di sekeliling pemimpin korup itu seolah-olah kepintaran mereka tidak di otak tapi di lutut.
Kecewa dengan parti pembangkang yang asyik bercakaran tanpa memikirkan permasalahan yang perlu dituntaskan untuk rakyat. Kecewa dengan rakyat yang rasa “tak apa” dengan yang apa berlaku sehingga kezaliman demi kezaliman dilakukan ke atas mereka.
Tapi banyak juga yang marah dengan tulisan saya itu. Marah kerana takut tulisan saya itu akan mempengaruhi majoriti rakyat mengambil sikap yang serupa.
Mereka mungkin marah kerana kita belum cukup berusaha. Berusaha untuk melakukan perubahan, berusaha untuk memberitahu orang kampung sama ada di Felda, mahu pun di Sabah dan Sarawak. Bagi mereka “Perjuangan Belum Selesai!” dan obor perubahan harus diteruskan dengan cara baharu dan lebih baik.
Saya bertanya, apa cara baharu dan yang lebih baik itu?
Bagi mereka yang berjiwa kental dan bersikap positif, Malaysia masih ada sinar dihujung terowong. Mereka suruh saya lihat Tun Dr Mahathir Mohamad. Sudah 92 tahun masih juga bertenaga dan gigih ke sana sini memastikan perubahan pucuk pimpinan Malaysia berlaku pada pilihan raya umum 14 dan pemimpin korup dan kaki kipas dinyahkan secara demokratik dan diadili.
Biar pun ada pemuda menyuruhnya berehat dan pergi Mekah, tetapi bagi Dr Mahathir, perjuangan untuk agama, bangsa dan negara ini lebih mulia dan dituntut daripada keperluan peribadinya ke Mekah. Apatah lagi orang muda itu datang dari parti yang Dr Mahathir dakwa sudah pandai terima dedak.
Memang benar! Dr Mahathir tak pernah lelah! Inilah semangat dan energi yang harus semua rakyat Malaysia contohi.
Biarpun Dr Mahathir tidak dapat bersama pada perhimpunan Bersih 5 kerana ada rancangan awal di luar negara, beliau mengeluarkan amanat untuk semua rakyat yang prihatin turun.

Dalam beberapa siri “roadshow” PBPM, Dr Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan jelas menerangkan misi mereka. Mereka sanggup mengenepikan perbezaan dengan seteru politik lama mereka berganding bahu untuk membebaskan negara dan rakyat daripada kebejatan dan cengkaman pemimpin yang korup dan menyalahguna kuasa itu.
Semua tahu gabungan PKR, DAP dan Amanah tidak mungkin akan dapat menumbangkan Umno/BN. Apatah lagi dengan pemimpin mereka yang berada di penjara dan yang bakal masuk penjara. Ditambah dengan pemimpin yang bercakaran saling menikam dari belakang merebut jawatan.
Untuk mengalahkan Umno/BN, sekurang-kurangnya 20% undi Melayu luar bandar harus beralih memilih pembangkang. PKR dan Amanah tidak mampu. Daripada apa yang berlaku sekarang dan sejarah pemilihan Malaysia, hanya parti serpihan Umno sahaja yang boleh berbuat demikian. Ini berlaku di Kelantan bila Semangat 46 membantu PAS menawan Kelantan. Begitu juga bagaimana PBS menyungkurkan Berjaya di Sabah.
Inilah sinar di hujung terowong. Bila PBPM bergabung dengan Pakatan Harapan dan dengan kepimpinan Dr Mahathir dan Muhyiddin serta Datuk Seri Shafie Apdal di Sabah, sinar itu akan jadi cahaya mentari yang menghilangkan kegelapan akibat daripada awan gelap yang menyelubungi ruang angkasa Malaysia.
Di sinilah PKR, DAP dan Amanah harus buang yang keruh, ambil yang jernih. Setidak-tidaknya, daripada sekarang hingga kemenangan tercapai pada PRU14.
Terimalah kepimpinan Dr Mahathir dan Muhyiddin dan bekerja keraslah memenangi undi Melayu luar bandar. Jangan biarkan sejarah perpecahan Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat berulang. Wujudkan common framework dan disiplin kerjasama secepat mungkin supaya PPBM, PKR, DAP dan Amanah boleh menggunakan satu simbol pada PRU14 diikuti satu manifesto. Jangan biarkan pemimpin kepala batu, ego dan berkepentingan merosakkan pemuafakatan keramat yang akan melakar sejarah untuk Malaysia.
Sehingga itu, ayuh semua jangan kita lelah dan kecewa lagi. Dari Perlis ke Johor, dari Sarawak ke Sabah. Ini masa bekerja untuk kita mencipta sejarah untuk agama, bangsa dan negara Malaysia yang tercinta!
Ada pula yang bertanya, “Di mana PAS?”. Ini jawapannya: biarkan si luncai terjun dengan labunya. Mereka sendiri akan menjadikan diri mereka tidak relevan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA