Isnin, 7 November 2016

DAP terkejut keputusan Putrajaya henti bina rumah warga tua

Ahli Parlimen DAP berkata adalah menjadi tugas kerajaan menjaga warga tua yang pernah menyumbang kepada negara semasa muda.
Teresa-KokKUALA LUMPUR: Ahli Parlimen DAP, Teresa Kok terkejut dengan keputusan kerajaan menghentikan pembinaan rumah kebajikan bagi warga tua dengan alasan ia menjadi tempat anak-anak “membuang” ibu bapa atau saudara mara mereka yang sudah berusia.
Bercakap kepada FMT, Ahli Parlimen Seputeh itu berkata, tindakan seolah-olah melepaskan tanggungjawab kepada rumah-rumah kebajikan yang dikendalikan badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan ini akan lebih membebankan mereka.
“Memang benar ramai anak yang tidak bertanggungjawab dengan menghantar ibu bapa mereka ke rumah orang tua dan bukannya menjaganya sendiri.”
“Mungkin sudah tiba masanya kita mempunyai undang-undang untuk mengatasinya atau memastikan ibu bapa dijaga anak-anak mereka.”
Bagaimanapun, beliau berkata mungkin ada komplikasi apabila ia melibatkan ibu bapa yang menzalimi atau meninggalkan anak-anak ketika mereka masih muda.
Namun, Kok menegaskan akhirnya ia menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan kebajikan rakyat warga emas yang pernah menyumbang kepada negara pada masa lalu.
“Keputusan tidak membina lagi rumah kebajikan tidak menyelesaikan masalah.”
Sebaliknya, beliau menggesa Putrajaya berfikir di luar kotak dan memikirkan untuk mewujudkan rumah persaraan lebih mampan di mana orang tua boleh mengambil bahagian dalam aktiviti “ringan” seperti berkebun.
“Ada orang tua yang masih aktif dan tidak mahu duduk sahaja tanpa melakukan apa-apa. Mungkin di rumah ini mereka boleh membuat tanaman pasu dan menanam bunga untuk dijual bagi pendapatan berterusan kepada mereka dan rumah kebajikan berkenaan.”
Seperti rumah persaraan, beliau berkata ia boleh menjadi inisiatif pihak awam dan swasta, yang dibangunkan secara bersama dan dikendalikan kedua-dua sektor.

Kok berkata, pengecualian cukai boleh diberikan kepada penderma rumah persaraan mampan seperti itu.
Semalam, dilaporkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, kini terdapat lebih ramai anak-anak menghantar ibu bapa dan saudara-mara yang tua ke rumah kebajikan dan bukannya menjaga mereka.
“Kebiasaan seperti itu mesti dihentikan. Jadi, kerajaan tidak ada rancangan mewujudkan rumah kebajikan yang baru sebagai tambahan kepada 9 rumah sedia ada,” katanya pada majlis semalam.
Beliau berkata, kerajaan menukar salah satu rumah kebajikan berkenaan menjadi pusat sehenti, di mana anak-anak yang menghantar ibu bapa ke pusat itu akan dikenakan caj RM50 sehari untuk makanan dan perkhidmatan yang diberikan kepada ibu bapa mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA