Khamis, 3 November 2016

DAP ‘samar-samar’ keterbukaan Hadi dengan pembangkang

Naib pengerusi DAP Selangor berkata masih awal untuk meramalkan kerjasama antara PAS dan parti pembangkang lain dalam menghadapi PRU akan datang.
Datuk-Teng-Chang-Khim-hadi
SHAH ALAM: DAP masih samar-samar apabila PAS menyatakan keterbukaan untuk berbincang dengan parti pembangkang termasuk DAP bagi mewujudkan pertembungan 1 lawan 1 menentang Barisan Nasional (BN) pada PRU14.
Naib Pengerusi DAP Selangor Datuk Teng Chang Khim berkata kenyataan itu perlu dibincangkan di peringkat DAP Pusat terlebih dulu sebelum membuat keputusan.
“Hadi cakap samar-samar dan kita pun jawab samar-samar. Kita nak lihat dulu masalah yang wujud sekarang dan lihat penyelesaian ini.
“Jadi masing-masing ada prinsip dan kena lihat terma yang ada. Saya pun tidak pasti (keterbukaan PAS) ini betul atau tidak. Kena mesyuarat dulu,” katanya kepada FMT ketika ditemui di Lobi Dewan Undangan Negeri Selangor.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang berkata pihaknya sudah lama membuka pintu parti Islam itu.
“Kita sudah lama buka pintu, cuma apabila masuk, jangan buat kacau dalam rumah kami,” kata Hadi di Parlimen sebelum ini.
Semalam, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mengesahkan menerima jemputan untuk mengadakan perbincangan dengan PAS dan Pakatan Harapan dalam masa terdekat .
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pertemuan itu permulaan baik untuk Bersatu memulakan rundingan dengan parti pembangkang lain mengenai bentuk kerjasama menjelang PRU14.
Teng yang juga Adun Sungai Pinang berkata masih awal untuk meramalkan kerjasama antara PAS dan parti pembangkang lain dalam menghadapi PRU akan datang.

“Bagi saya perbincangan masih diadakan. Kita akan lihat hasil daripada perbincangan itu. Pada prinsipnya semua setuju tetapi bila masuk mesyuarat banyak perbezaan dan sukar kita nak ramalkan apa berlaku,” katanya.
Sementara itu, Exco kerajaan Selangor daripada PAS Zaidy Abdul Talib berkata PAS tetap konsisten untuk terbuka kerjasama dengan mana-mana parti yang menerima prinsip dan perjuangan yang dibawa PAS.
Katanya, tiada masalah untuk kerjasama sekiranya DAP dan parti pembangkang lain boleh terima prinsip PAS.
“Mereka nak bersama kita (PAS), mestilah terima prinsip dan perjuangan PAS. PAS sentiasa berkawan dengan parti lain dan tiada masalah,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA