Selasa, 29 November 2016

DAP: Jangan heret ‘Bangsa Johor’ dalam politik perkauman

Mahdzir berkata, konsep Bangsa Johor wujud sejak 1920-an, ketika Umno belum ditubuhkan.
mahdzir-ibrahim_johor_rakyat_600
KUALA LUMPUR: Umno tidak boleh mengheret konsep “Bangsa Johor” ke kancah politik perkauman sempit mereka, pesan pengarah pendidikan politik DAP negeri.
Mahdzir Ibrahim mempersoalkan tindakan Umno mengaitkan parti terbabit dengan konsep yang dilaungkan Sultan Johor untuk semua kaum di negeri selatan itu.
Beliau mengulas ucapan penggulungan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Khaled Nordin di Dewan Undangan Negeri kelmarin yang mendakwa agenda DAP tidak sesuai dengan konsep itu kerana mengamalkan politik perkauman.
Antara hujah Khaled ialah kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP tidak membela nasib orang Melayu dan India di sana.
Dengan menyenaraikan program bantuan dan peruntukan kerajaan Pulau Pinang kepada orang Melayu dan umat Islam di sana, Mahdzir menyatakan keadaan di Johor sendiri yang menurutnya masih bergelut dengan pelbagai kategori kemiskinan.
“Pulau Pinang adalah negeri terawal yang berjaya membasmi kemiskinan tegar di kalangan semua kaum. Di Johor pada 2016, masih bersilat lidah antara sifar miskin, miskin tegar dan mudah miskin.
“Betul jika kerajaan Pulau Pinang didakwa tiada dasar untuk kaum Melayu dan India kerana kami tidak melihat kemiskinan menerusi kaca mata Umno iaitu perkauman, tetapi berdasarkan keperluan rakyat rentas kaum dan agama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam satu lagi kenyataan semalam, beliau menyifatkan serangan Khaled terhadap DAP sebagai tanda Umno tidak dapat menjadikan konsep “Bangsa Johor” sebagai milik mereka dan bimbang BN tiada calon bukan Melayu untuk menyaingi DAP.
Kenyataan itu dibidas Ketua Pemuda Umno Johor, Hahasrin Hashim yang berkata, beliau cuba membangkitkan sentimen “Bangsa Johor” tanpa memahami ia sudah wujud sejak 1920-an.
Mahdzir sekali lagi menegaskan pendiriannya yang Umno tidak boleh mengheret sentimen itu dalam politik perkauman.
“Adakah Umno sudah wujud pada 1920-an? Jadi, mengapa Khaled ingin mengaitkan Umno dengan idea itu? Mengapa Khaled dan Hahasrin mahu mengheret Bangsa Johor dalam politik perkauman sempit?”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA