Selasa, 8 November 2016

CPJ: Kerajaan perlu henti gangguan terhadap Malaysiakini

Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ) menggesa kerajaan menghentikan gangguan terhadap portal berita Malaysiakini.
Ia berikutan polis membuka kertas siasatan terhadap Malaysiakini dan ancaman baju merah untuk meruntuhkan bangunan portal berita itu.
"Entah bagaimana laporan bebas Malaysiakini boleh dianggap menjadi ancaman dan bukan kebaikan kepada demokrasi Malaysia yang sepatutnya menjadi keutamaan kerajaan," kata wakil CPJ Asia Tenggara Shawn Crispin di laman webnya.
"Kami menggesa polis hentikan siasatan yang dipolitikkan ini dan kerajaan berhenti mengancam wartawan bebas," katanya.
Satu pasukan khas ditubuhkan oleh polis untuk menyiasat Malaysiakini berhubung dana diterima daripada Open Society Foundations (OSF) yang diasaskan jutawan Amerika Syarikat, George Soros.
Dalam mesej kepada Malaysiakini, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan kerana cuba melakukan perbuatan menjejaskan demokrasi berparlimen.
Mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysiakini, Premesh Chandran dan Ketua Pengarang Kumpulan Steven Gan menafikan dakwaan bahawa dana itu diperuntukkan dengan tujuan untuk menjatuhkan kerajaan.
Satu penjelasan terperinci diberikan dalam isu ini, manakala OSF juga menafikan bahawa ia mendorong agenda untuk menjatuhkan kerajaan.
Premesh juga menjelaskan bahawa geran tersebut berkaitan KiniTV dan digunakan untuk menghasilkan 'Realiti Sarawak' dan program 'Sekilas Bumi Kenyalang'.
Beliau menambah geran tersebut hanya merupakan sebahagian kecil daripada pendapatan Malaysiakini, yang sebahagian besarnya bergantung kepada langganan dan pengiklanan.
Selain pihak polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga sedang menyiasat laporan yang dibuat terhadap pembiayaan OSF.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA