Khamis, 24 November 2016

CIA: Annuar enggan dedah maklumat Maria

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa menolak daripada menyatakan maklumat lanjut berhubung dakwaaannya terhadap Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah yang dikatakan mempunyai kaitan dengan agensi keselamatan AS.
Enggan berterus terang, Annuar berkata beliau tidak akan mendedahkan maklumat berkenaan walaupun jika tahu mengenainya.
"Kalau pun saya tahu, saya tidak perlu dedahkan maklumat saya," kata Annuar kepada Malaysiakini.
Annuar berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaannya mengenai Maria Chin yang dituduh ada hubungan dengan Agensi Perisikan Pusat AS.
Kenyataan itu dibuat Annuar melalui kemas kini status di Facebooknya semalam.
Menurut Annuar, Maria Chin dan bekas suaminya arwah Yunus Ali terlibat dalam beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menerima bantuan daripda CIA pada 1980-an.
Antara NGO yang disebut Annuar ialah Institut Integriti Pilihan Raya Kebangsaan.
Ketua Polis Negara ketika ditanya mengenai kenyataan Annuar juga tidak memberikan sebarang komen lanjut.
Sebaliknya Tan Sri Khalid Abu Bakar (gambar) meminta soalan itu ditanyakan terus kepada Annuar.
Pertubuhan pendesak reformasi pilihan raya, BERSIH, yang diketuai Maria Chin pula mengecam kenyataan Annuar itu.
“Ini taktik paling biasa, paling lama dan kotor oleh pemerintah untuk menekan dan memfitnah penentang mereka...,” kata BERSIH dalam e-mel kepada Malaysiakini.
Sementara itu, mengulas cabaran peguam Maria Chin, Datuk S Ambiga supaya Annuar membuat afidavit dengan memasukkan kenyataannya itu, anggota parlimen Ketereh terbabit berkata: "Apa locus standi Ambiga dalam isu ini?"
Ambiga yang juga bekas pengerusi BERSIH semalam menyelar kenyataan Annuar mengenai penggantinya, Maria Chin yang kini ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau Sosma.
"Saya cabar beliau buat afidavit atas dakwaan itu supaya kita boleh menyoal balas. Beliau juga tahu terdapat prosiding mahkamah yang dijalankan berkaitan pembebasan Maria dari tahanan.
"Tuduhan yang serius dan tidak berasas ini boleh dilihat sebagai campur tangan dalam prosiding itu," katanya kepada Malaysiakini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA