Selasa, 8 November 2016

China Railway melabur kerana pemimpin Malaysia ‘cerdik, bijaksana’ - Cai Ze Min

Pemimpin negara yang ‘cerdik dan bijaksana’ adalah antara sembilan sebab China Railway Engineering Corp (CREC) mahu menubuhkan ibu pejabat serantau bernilai AS$2 bilion (RM8.4 bilion) di Bandar Malaysia, yang sebahagiannya dimiliki oleh 1MDB.
"Pemimpin Malaysia itu, bijak, bertimbang rasa terhadap rakyat, dan berani untuk membawa Malaysia menjadi sebuah negara maju," kata pengurus besar syarikat itu, Cai Ze Min.
Walaupun beliau tidak menyebut sebarang nama, adalah difahamkan Cai, yang bercakap dalam bahasa Mandarin, merujuk kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Cai, yang juga Pengarah Urusan China Railway Dongfang Group, berucap pada majlis menandatangani usahasama projek pembangunan campuran bernilai RM2.1 bilion dengan pemaju tempatan Titijaya Land Berhad, di Kuala Lumpur.
"CREC menandatangani dua memorandum (dengan Malaysia semasa lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak) di China.
"Pada majlis makan malam kemudian, menteri (Malaysia) Mustapa Mohamed bertanya kepada saya mengapa CREC memilih untuk menubuhkan ibu pejabat serantau di Malaysia," kata Cai.
Berkongsi dengan orang ramai, apa yang diberitahunya kepada Mustapa, Cai berkata sebab pertama adalah hakikat bahawa Malaysia adalah sebuah negara berbilang budaya yang yang aman dan sederhana.
Kedua, Malaysia mempunyai sistem politik saintifik dan cekap yang memberi manfaat kepada masyarakat dan ahli perniagaan, katanya.
"Malaysia menggunakan Bahasa Inggeris di sektor awam dan perniagaan dan ini adalah bahasa yang digunakan di (arena) antarabangsa, " katanya.
"Saya telah mengembara di seluruh dunia, saya dapati perniagaan dan ekonomi Malaysia adalah yang paling aktif (berbanding dengan lain). Ahli perniagaan Malaysia rajin dan bijak," katanya.
CREC juga memilih Malaysia untuk kestabilan politik, yang membolehkan negara ini untuk terus berkembang, katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA