Rabu, 30 November 2016

C4 kutuk ‘taktik kekerasan’ penahanan Orang Asli

Pertubuhan itu menyelar kerajaan negeri Kelantan kerana menangkap Orang Asli di Guan Musang hanya kerana masyarakat itu mempertahankan tanah adat mereka.
cynthia-1KUALA LUMPUR: NGO Center to Combat Corruption & Cronyism (C4 Center) mengutuk tindakan pihak berkuasa yang menahan 40 pemimpin Orang Asli yang mempertahankan sekatan di tanah adat mereka di Simpang Petei berhampiran Pos Gob, Betau Cawas dekat Pos Bihai dan Kelawong di Pos Pasik.
Pengarah C4 Cynthia Gabriel berkata Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah sebelum ini sendiri berjanji akan ke tempat sekatan itu bagi berbincang lanjut isu berkenaan dengan masyarakat Orang Asli.
Namun, perjumpaan itu tidak pernah diadakan dan pihak berkuasa menggunakan “taktik kekerasan” dalam menangani bantahan masyarakat Orang Asli itu.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, Gabriel berkata C4 bekerjasama rapat dengan masyarakat itu dan berusaha membawa pegawai ke Gua Musang untuk mendengar rintihan Orang Asli.
Katanya, mereka berjanji untuk menjalankan tadbir urus yang baik dan melindungi hak masyarakat miskin dan terpinggir serta bersama mencari cara menyelesaikan perkara itu dengan baik.
“Janji itu rosak semalam apabila Jabatan Perhutanan Kelantan dan polis menghantar kira-kira 100 pegawai dengan senjata api untuk memecahkan sekatan balak di situ,” katanya.
Katanya, menteri besar Kelantan sebelum ini berkata hasil hutan penyumbang utama negeri sebanyak RM172.96 juta atau 29.12%.
Dalam sidang DUN sebelum ini, Kelantan mewartakan kawasan hutan baru bagi pembalakan dengan jangkaan hasil RM539.8 juta dalam bajet 2016 negeri.
Kelantan mempunyai 3,331 pekerja dalam industri balak di negeri itu. Ia merekodkan 887,666 meter persegi dalam pengeluaran balak pada tahun itu, kedua selepas Pahang.

“Jadi, ia amat membimbangkan apabila Kelantan memilih untuk jadi agresif, mengutamakan keuntungan berbanding rakyat dan berkasar dengan Orang Asli, yang ‘jenayahnya’ hanya kerana melindungi tanah dan rumah mereka selama ratusan tahun.
“Kami kutuk penahanan itu. Menyasarkan mereka seperti penjenayah tegar membawa tanda hitam terhadap kerajaan negeri Kelantan, yang meletakkan Islam sebagai prinsip utama.
“Ke mana hilangnya nilai itu apabila berdepan masalah pembalakan tidak terkawal di negeri itu?,” katanya.
Gabriel juga mendesak Orang Asli berkenaan dibebaskan serta-merta dan dialog terus diadakan untuk mencari penyelesaian terbaik kepada masalah itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA