Selasa, 8 November 2016

C4: Jangan guna Akta Hasutan, OSA tutup salah tadbir, rasuah 1MDB

Cynthia berkata, hak mendapat maklumat sepatutnya dijadikan hak asasi orang ramai untuk mendidik masyarakat dalam membentuk rakyat yang aktif.
Cynthia-GabrielPETALING JAYA: Pihak berkuasa tidak sepatutnya menggunakan Akta Hasutan atau Akta Rahsia Rasmi (OSA) ke atas ahli Parlimen ketika berbahas di Dewan Rakyat untuk menutup kesalahan urus tadbir atau aktiviti rasuah dalam 1MDB, kata Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (Pusat C4).
Pengarah Eksekutif Pusat C4, Cynthia Gabriel berkata, ahli Parlimen berhak bertanya sebarang soalan yang dianggap penting untuk memastikan negara diurus tadbir secara telus seperti termaktub dalam Perkara 10 (1)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, hak mendapat maklumat sepatutnya dijadikan hak asasi orang ramai untuk mendidik masyarakat dalam membentuk rakyat yang aktif.
“Perkara ini dapat membantu proses pendemokrasian di Malaysia agar menjadi lebih matang dan terbuka, sama ada dari segi sosial atau hal ehwal kenegaraan.
“Kami menggesa speaker dewan, sekiranya terdapat salah urus tadbir atau rasuah dalam 1MDB, maka perlu dibenarkan untuk dibahaskan dalam dewan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bekas Menteri Kewangan kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sedang disiasat polis atas dakwaan membocorkan rahsia kerajaan, ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2017 di Dewan Rakyat, 2 minggu lalu.
Siasatan itu dibuat mengikut OSA dan Akta Hasutan kerana mendedahkan rahsia kerajaan, termasuk berkaitan 1MDB susulan laporan polis dibuat Jaringan Melayu Malaysia (JMM) dan Kelab N87 Wilayah Persekutuan.
Cynthia berkata, polis tidak patut menyiasat ahli Parlimen yang bertanya soalan di Dewan Rakyat kerana ia bertentangan Perkara 63 (2) Perlembagaan Persekutuan dan merupakan amalan tidak demokratik serta boleh merencatkan proses pendemokrasian di Malaysia.

“Lebih-lebih lagi apabila ianya berlaku di dalam Dewan Rakyat yang sememangnya dikhaskan tempat bagi ahli Parlimen berbahas dalam memastikan urus tadbir kerajaan berjalan secara integriti dan bersih.”
Katanya, kandungan perbahasan 3 bekas menteri itu tidak menampakkan wujud unsur hasutan atau menyentuh isu mengenai Yang di-Pertuan Agong mahupun raja-raja Melayu, sebaliknya ia hanya memfokuskan isu 1MDB.
“1MDB adalah syarikat pemilikan negara yang menggunakan dana awam, justeru setiap ahli Parlimen berhak mempersoalkan pengurusan 1MDB bagi memastikan perjalanan urus tadbir negara diuruskan dengan integriti.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA