Rabu, 2 November 2016

Buku dedah individu berpengaruh cuba halang pembebasan Anwar

Mereka berharap Abdullah akan campur tangan sebelum Mahkamah Persekutuan memutuskan untuk membebaskan Anwar, pada 2004.
anwarPETALING JAYA: Sekumpulan ahli perniagaan dan politik cuba mempengaruhi keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2004 membebaskan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dedah buku baru mengenai bekas perdana menteri.
Individu-individu “berpengaruh” itu berharap Tun Abdullah Ahmad Badawi yang baru setahun menjadi perdana menteri ketika itu, akan campur tangan bagi memastikan Anwar kekal dalam penjara.
Abdullah bagaimanapun kekal dengan pendiriannya dan berkata, beliau bertanggungjawab kepada Allah.
“Jika keputusan mereka adalah untuk membebaskan Anwar, maka saya perlu menghormati dan menerimanya. Jika mereka membuat keputusan berat sebelah dengan mengabaikan bukti, maka di akhirat, mereka bertanggungjawab kepada Allah.
“Begitu juga jika saya campur tangan dalam keputusan itu, maka saya perlu bertanggungjawab kepada Allah.
“Saya tidak sanggup mengambil beban itu sendiri,” katanya dipetik sebagai memberitahu menantunya, Khairy Jamaluddin dan bekas wartawan menjadi ahli perniagaan, Kalimullah Hassan, dalam buku “Being Abdullah Ahmad Badawi”.

Biografi yang ditulis bekas Ketua Editor Kumpulan The Star, Datuk Wong Sulong itu dilancarkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Isnin lalu.
Dalam buku itu, Kalimullah mendakwa dirinya serta Khairy yang kini menteri belia dan sukan, didekati ahli perniagaan dan politik yang menggesa mereka meminta Abdullah campur tangan dalam keputusan Mahkamah Persekutuan.
“Khairy dan saya kata beliau tidak patut campur tangan, jika tidak beliau akan menguatkan lagi persepsi lama yang Eksekutif mempengaruhi badan kehakiman,” katanya yang mengimbau kembali pertemuan dengan Abdullah yang baru pulang daripada menjalani pembedahan di Australia.
“Saya gembira anda fikir macam itu,” jawab Abdullah. “Sebagai umat Islam, saya bertanggungjawab kepada Allah. Tugas saya sebagai Ketua Eksekutif tidak memberi saya hak untuk campur tangan dengan badan kehakiman.”
Pada 2 September 2004, Anwar menang dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan untuk mencabar sabitan salah guna kuasa, 6 tahun selepas beliau dipecat daripada Kabinet oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.
Pendedahan dalam buku itu menekankan jenis kuasa yang kerajaan gunakan dalam institusi negara, termasuk media.
Buku itu mendakwa pembebasan Anwar menyebabkan individu yang dikaitkan dengan Umno tidak selesa dan mahu media tidak membuat liputan meluas mengenai keputusan itu.
Bagaimanapun, buku itu mendedahkan, mesyuarat yang dipengerusikan Abdullah dan dihadiri Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Bakri Omar, memutuskan media perlu diberi kebebasan melaporkan keputusan mahkamah itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA