Jumaat, 4 November 2016

BN masih dipercayai walaupun pembangkang bersatu - Suhaimee Sahar

KOTA BHARU - Kepercayaan pengundi masih lagi diletakkan kepada BN untuk memimpin negara melalui dasar dan pendekatan yang dilihat mampu menawan hati pengundi sedia ada.
Pemerhati politik, Suhaimee Sahar berkata, kerjasama politik parti yang baru di tubuh hanyalah satu acahan politik lama melalui perkongsian strategi, teknik, taktikal, jentera dan juga penyokong yang dilihat sebagai satu aset politik.
pembangkang “Melihat keadaan ini, Bersatu yang dianggotai oleh pemimpin-pemimpin lama dan berpengalaman memerlukan sokongan dari parti lain. Pas dilihat sebagai sekutu kuat yang mampu menarik sokongan Melayu Islam di sesetengah kawasan mengundi.
“Manakala Bersatu pula akan menggunakan sentimen semasa berasaskan isu-isu seperti 1MDB, SRC dan lain-lain yang dilihat mampu mempengaruhi keyakinan dan sokongan pengundi baru dan juga di kawasan-kawasan semi urban,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau diminta mengulas mengenai Parti Bersatu mengesahkan telah menerima jemputan untuk mengadakan perbincangan dengan Pas dan Pakatan Harapan dalam masa terdekat.
Suhaimee berkata, politik sebegini meletakkan kuasa sebagai gadaian yang amat berisiko dan sekiranya berlaku pergelutan dan hilang kepercayaan, maka rantaian politik yang cuba dikuatkan akan putus.
Beliau berkata, malah pengundi pasti akan membuat satu keputusan yang luar biasa dan PRU 14 akan menyaksikan satu lagi sejarah baru dalam politik tanah air.
“Untuk PRU14, atas prinsip perjuangan politik Islam, Pas sebenarnya sudah mempunyai kekuatan tersendiri untuk bergerak sendirian tanpa perlu menghadapi tentangan dan permainan politik licik oleh DAP jika mereka bekerjasama sebagai pembangkang selepas ini.

“Dalam masa yang sama, hubungan Pas dengan Amanah, kita sendiri dapat lihat, Amanah tidak mendapat tempat dalam hati pengundi dalam PRK sebelum ini.
“Untuk PRU akan datang saya merasakan politik Amanah adalah politik kekeliruan yang hanya menyarung baju yang berbeza warna tetapi hatinya masih keliru dengan wadah yang cuba dibawanya kepada pengundi.
“Pandangan saya, Pas harus lebih cermat dalam menawan minda khalayak dalam mencari erti sebenar politik Islam dan sudah pasti khalayaknya terbentang luas di depan mereka. Cuma caturan politiknya perlu lebih terkini dan canggih dalam menggunakan ruang yang ada,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA