Selasa, 8 November 2016

Bila saya tanya diam, bila baju merah terus jawab - Khairuddin Abu Hassan

KPN ditanya kenapa berpilih-pilih dalam melayan laporan polis.KPN ditanya kenapa berpilih-pilih dalam melayan laporan polis.

Selepas Ahli Parlimen Pokok Sena mempersoal kemungkinan Tan Sri Khalid Abu Bakar sebagai 'belaan' Umno, bekas ahli parti Bersatu pula dilihat berang dengan status laporan polis yang dibuatnya sebelum ini.

"Tan Sri Khalid Abu Bakar tolong maklumkan apa status laporan polis saya ini!!
"Saya sebagai pelapor mempunyai hak untuk mengetahui kedudukan sebenar status laporan ke atas Speaker Parlimen, JMM (Jaringan Melayu Malaysia) dan Kelab N87 Wilayah Persekutuan!!" tegas Khairuddin Abu Hassan dalam satu kenyataan.
Beliau mempertikaikan sikap berdiam diri Khalid itu ketika pada masa sama bertindak segera terhadap laporan ke atas tiga bekas menteri ekoran skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
"Bila saya buat laporan polis keatas Speaker Parlimen, JMM dan Kelab N87 Wilayah Persekutuan; kenapa Tan Sri Khalid Abu Bakar hanya diam seribu bahasa?!
"Dia tak cakap pun PDRM nak siasat ketiga-tiga pihak yang telah saya buat laporan polis itu," bidas Khairuddin.
Sehubungan itu, beliau mendesak supaya Khalid tampil mengemukakan perkembangan siasatan terhadap laporannya pada 4 November lalu.
"Ketua Polis Negara tolong jangan lupa untuk beri pencerahan ke atas laporan polis saya ini! Janganlah bila saya buat laporan polis KPN diam!
"Tetapi bila orang lain melaporkan ke atas ketiga-tiga ahli parlimen yang terbabit, KPN secara kadar segera mengesahkan untuk siasat!!" ujarnya.
Menurutnya, Ketua Polis Negara sepatutnya mesti bertindak secara profesional, telus, adil, saksama serta pantas dengan bersikap adil dalam membela kesejahteraan rakyat.
"Mengapa begitu Ketua Polis Negara?! Rakyat nampak macam ada unsur-unsur pilih kasih," tegasnya.

Mengulas lanjut, bekas pemimpin Umno Bahagian itu menyifatkan Speaker Parlimen dan dua NGO terbabit amat tidak bertanggungjawab kerana menunjukkan unsur-unsur berbentuk ugutan dan intimidasi terhadap ahli-ahli parlimen daripada melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai wakil rakyat yang dipilih untuk bersuara di dalam parlimen.
"Mereka bertiga ini juga telah bertindak secara salah masuk campur untuk mengganggu perjalanan lancar sistem demokrasi berparlimen.
"Hakikatnya, Speaker Parlimen, JMM dan Kelab N87 Wilayah Persekutuan boleh didakwa di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan," tegasnya lagi.
Khalid dalam sidang akhbarnya baru-baru ini menyatakan bahawa pihak PDRM akan menyiasat Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Shafei Apdal serta Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah ekoran laporan JMM dan Kelab N87 Wilayah Persekutuan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA