Jumaat, 4 November 2016

Biarlah nak kata samseng atau apa, kata Pemuda Umno

Susulan kepada tindakan menyerahkan memorandum yang berakhir dengan balingan baldi dan botol air di perkarangan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) baru-baru ini, Pemuda Umno hari ini 'akur' dengan gelaran samseng yang dilemparkan pihak tertentu kepadanya.
Sambil menggelarkan Datuk Seri Azmin Ali sebagai menteri besar 'cicak mengkarung' pula, Exco Pemuda Umno, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata, apa yang mereka mahukan ialah memperjuangkan hak rakyat di negeri Selangor khususnya isu air ini.
"Hari ini, kita desak pihak kerajaan negeri Selangor jawab isu ini, rakyat nak tahu bila boleh selesai isu air di negeri Selangor ini. Cukuplah berpolitik main isu air di negeri Selangor, biarlah mereka nak kata kita samseng atau sebagainya namun apa yang kita mahu ialah kita memperjuangkan hak rakyat di negeri Selangor khususnya isu air ini.
“Kepada Azmin Ali MB cicak mengkarung, selesaikanlah isu air ini, kurang-kuranglah bermain politik kerana kita bangkit memperjuangkan hak sebenar rakyat negeri Selangor. Rakyat Selangor, mari bersama-sama menuntut keadilan, bukan kita minta parti keadilan nasional,” sindir Armand Azha, memetik laporan Umno Online.
Dua hari yang lalu, Ketua Penerangan Umno Selangor, Datuk Zein Isma Ismail berkata, tindakan membaling baldi dan botol air di perkarangan Bangunan SSAAS disebabkan rasa tidak puas hati berikutan keengganan menteri besar menerima memorandum daripada Pemuda Umno berhubung isu gangguan bekalan air itu.
"Ini isu air... isu yang wajib dan perlu diselesaikan oleh kerajaan negeri...air satu keperluan dan sebagai penduduk di Selangor yang terbelenggu dengan masalah itu, mereka berhak untuk menuntut supaya isu itu diselesaikan," kata Zein Isma.
Pada masa yang sama, Umno Selangor menyelar pihak tertentu yang melabelkan Pemuda Umno sebagai samseng berhubung tindakan sebahagian daripada kira-kira 200 orang yang mengiringi Armand Azha untuk menyerahkan memorandum itu kepada Mohamed Azmin.
Mengulas lanjut, Armand Azha berkata, pihaknya terus mempersoalkan sikap berdiam diri yang diambil oleh menteri besar Selangor itu selepas penyerahan memorandum berkenaan dua hari yang lalu.

“Namun selepas dua hari, menteri besar yang kita gelar ‘cicak mengkarung’ ini masih mendiamkan diri. Jelas menteri besar ini lebih suka bermain politik dan bukannya menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat.
“Bila kita hadir ke Pejabat SUK Selangor baru-baru ini, mereka menuduh kita bergerak seperti satu kumpulan samseng dah sebagainya. Ini satu persepsi yang salah, kerana kita bergerak hari itu atas dasar kepentingan rakyat negeri Selangor.
“Kita hadir hari itu bukan sahaja kita berjuang untuk kepentingan orang Melayu tetapi kita juga memperjuangkan hak orang Cina, India dan sebagainya khususnya hak rakyat dan orang negeri Selangor,” ujar Armand yang juga Pengerusi Briged Kesatria Muda.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA