Selasa, 8 November 2016

Biar rakyat tentukan zaman siapa Dewan Rakyat lebih bebas

Rakyat sedang menilai konsistensi semua kenyataan yang pernah Dr Mahathir keluarkan sewaktu bersama Umno dahulu.
h20-mahathirKUALA LUMPUR: Tidak wajar bagi Tun Dr Mahathir Mohamad menganggap kebebasan di Dewan Rakyat lebih baik sewaktu beliau memegang tampuk pemerintahan, kata Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Naib presiden Umno itu berkata, Dr Mahathir tidak berhak menilai diri sendiri sebaliknya biarlah rakyat yang menilai kebebasan di Dewan Rakyat.
“Jika beliau anggap kepimpinannya lebih baik, bukan beliau yang tentukan. Orang luar yang akan tentukan, malah sejarah akan tentukan sama ada kepimpinan beliau lebih baik atau tidak,” katanya kepada pemberita, di Menara Dato Onn, hari ini.
Dr Mahathir hari ini melakukan kunjungan pertama di Dewan Rakyat sejak 12 tahun bersara menjadi wakil rakyat.
Dr Mahathir yang pernah menjadi wakil rakyat Kubang Pasu selama 30 tahun itu mempertahankan kebebasan Dewan Rakyat di era beliau, dan berkata ia lebih demokratik berbanding sekarang di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.
Kata Hishammuddin, ketika ini rakyat sedang menilai kenyataan-kenyataan yang pernah mantan perdana menteri itu keluarkan sewaktu bersama Umno.
“Biar sejarah menentukan segala-galanya. Orang akan nilai sama ada apa yang beliau buat sekarang ini konsisten atau tidak dengan apa yang dinyatakan sewaktu memimpin selama 22 tahun dahulu,” katanya.

Malah, Hishammuddin turut tidak terkejut mengenai kehadiran Dr Mahathir ke Dewan Rakyat kerana menurutnya pemimpin itu melakukan banyak perkara yang tidak pernah dilakukan sewaktu bersama Umno.
“Saya tidak tengok sama ada memberi kesan atau tidak kerana saya tidak kisah. Beliau sudah buat macam-macam pada Umno,” katanya.
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang berusia 91 tahun itu berkata, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia sudah tentu mengotakan janjinya untuk melakukan pembaharuan Parlimen.
Bagaimanapun katanya, perubahan itu nampaknya lebih teruk dan pada masa depan, semua perbahasan mungkin dilarang sama sekali.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA