Isnin, 14 November 2016

Biar Jufazli berjuang jika dia tak bersalah, kata IKRAM

Pengerusi Majlis Pemuda IKRAM berkata Jufazli bukan penjenayah yang merosakkan negara dan masyarakat
Jufazli-Shi-AhmadKUALA LUMPUR: Pertubuhan IKRAM Malaysia menggesa pihak berkuasa memberikan keadilan sewajarnya kepada Jufazli Shi Ahmad, aktivis muda Sabah yang kini dalam tahanan reman susulan kritikannya terhadap kerajaan Sabah.
Pengerusi Majlis Pemuda Ikram Shahrul Aman Mohd Saari berkata ada ramai penjenayah yang terbabit dalam merosakkan negara dan masyarakat, tetapi Jufazli bukan sebahagian daripada mereka.
Beliau berkata NGO Islam itu faham dan mengiktiraf kuasa pihak berkuasa dalam menegakkan undang-undang, tetapi ia perlu dilaksanakan secara adil dan saksama.
“Jika beliau didapati bersalah mengikut akta yang ada, maka kami setuju beliau dihukum dengan keadilan.
“Tetapi jika tidak, beliau perlu dibenarkan meneruskan perjuangannya, terutama berkaitan rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, peguam Jufazli di Semenanjung Wan Anwar Wan Ibrahim berkata pengasas Gerakan Anak Muda Selamatkan Sabah itu kini direman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.
Beliau dihantar pulang ke Sabah pada 11 September lalu selepas ditahan 2 hari sebelumnya di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur, dipercayai susulan kritikannya terhadap kerajaan Sabah di Facebook.
Beliau disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan atas kesalahan fitnah, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menggunakan kemudahan rangkaian secara tidak wajar, dan Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Shahrul Aman berkata Jufazli simbol keberanian yang harus dicontohi.
“Beliau pernah menyertai program tarbiah dalam IKRAM dan kami mengiktiraf keberaniannya dan mengagumi usaha yang ditunjukkannya,” katanya.
Sementara itu, IPD Tawau ketika dihubungi FMT mengesahkan Jufazli memang ditahan reman di sana sehingga esok, namun berkata bergantung kepada mahkamah sama ada untuk melanjutkan tahanan reman atau meneruskan dengan dakwaan.
IPD Tawau juga mengesahkan siasatan terhadap Jufazli dibuat di bawah akta tersebut susulan tindakannya mengeluarkan kenyataan berbau fitnah terhadap kerajaan Sabah dan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman di Facebook.
Jufazli, 26, mempunyai kira-kira 40,000 pengikut di Facebook. Beliau graduan Sarjana Sains Politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dan kini berkhidmat sebagai pensyarah di sebuah universiti tempatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA