Rabu, 9 November 2016

Betulkan kesilapan Umno perlu jadi agenda PPBM, kata Zaid Ibrahim

Dr Mahathir dan Muhyiddin sedar yang parti mereka perlu mengorientasi dan mengkaji semula pemikiran dan nilai Melayu, kata Zaid.
PETALING JAYA: Ramai orang Melayu tidak hidup dalam dunia sebenar dan terasing daripada realiti hingga membenarkan perbuatan rasuah, kata bekas menteri Umno Datuk Zaid Ibrahim.
“Orang Melayu menerimanya kerana mereka masih berpegang kepada idea hanya seorang pemimpin Melayu boleh mempertahankan kepentingan mereka. Oleh itu, mereka tidak berasa cukup marah apabila pemimpin-pemimpin mereka ditangkap kerana mencuri,” tulis Zaid hari ini dalam blognya.
Menggelar cara pemikiran ini sebagai satu kesalahan Umno yang dilakukan terhadap rakyat Malaysia terutamanya orang Melayu, Zaid menambah ia adalah satu isu yang Tun Dr Mahathir Mohamad perlu tangani.
“Agenda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mestilah membetulkan kesalahan Umno, dan untuk mengorientasi dan mengkaji semula pemikiran dan nilai Melayu.
“Ia menjadi tugas PPBM untuk memberitahu orang Melayu yang dunia sudah berubah sejak zaman Hang Tuah. Ia menjadi tugas PPBM menjadikan Melayu sebagai manusia yang mempunyai integriti dan sanggup mempertahankan ‘maruah’ atau penghormatan mereka,” kata Zaid.
Bekas menteri undang-undang itu berkata, kepimpinan tertinggi PPBM sedar dan mengiktiraf kegagalan Umno sebagai sebuah gerakan politik bagi orang Melayu, bersetuju dengan bekas setiausaha agung Umno, Radzi Sheikh Ahmad, yang dipetik sebagai berkata parti dipimpin Dr Mahathir akan memberi Umno perlawanan sengit.
Zaid berkata kekeliruan di kalangan orang Melayu di bawah pengaruh Umno kini merayap ke dalam masalah lebih serius yang berkaitan dengan agama.
“Orang Melayu berasa satu keperluan bagi Islamic State (IS) tanpa mengetahui apa sebenar maksudnya. Mereka takut kepada DAP tetapi gembira dengan Cina dari Beijing mengambil alih negara ini.
“Selain itu, ada yang tertarik kepada ideologi IS dan menjadi lebih Taliban dalam mengekspresi Islam mereka,” katanya.
Pada PPBM sendiri, Zaid melahirkan harapan agar Dr Mahathir, yang juga pengerusi dan presiden parti Tan Sri Muhyiddin Yassin berjaya dalam usaha mereka untuk mengalahkan Umno.
“Saya percaya majoriti orang Melayu bersetuju dengan saya.
“Adakah PPBM mampu dan sanggup bercakap dalam ‘bahasa baru’ dan menyampaikan mesej baru kepada orang Melayu? Ya, ia boleh tetapi kritikan mestilah berpada-pada juga.

“Hentikan menghentam Muhyiddin kerana mengatakan beliau adalah ‘Melayu dahulu,” kata Zaid dalam menyeru rakyat Malaysia agar menerima kenyataan itu “dalam konteks yang betul” memandangkan bekas timbalan perdana menteri sekarang adalah sebahagian daripada pembangkang.
Selain Muhyiddin, Zaid juga menyentuh tentang bekas pengerusi kontroversi Suruhanjaya Pilihan Raya Abdul Rashid Abdul Rahman.
“Saya meminta anda bermurah hati dengan beliau (Rashid) juga. Beliau seperti ketua-ketua institusi awam yang mengikut nada Umno sejak 50 tahun lalu, iaitu hanya Umno boleh menyelamatkan orang Melayu. Beliau tidak tahu cerita lain.
“Saya tahu beliau baik, beliau dari Kelantan. Beliau adalah seorang lelaki yang baik malah bimbang mengenai masa depan orang-orang Melayu,” kata Zaid, mengakui Rashid membuat kesilapan kerana ingin menggembirakan pemimpin Umno.
Menggesa penyokong pembangkang berhenti menjadi terlalu kritikal terhadap PPBM dan parti-parti baru yang lain di kem pembangkang, Zaid berkata rakyat perlu “berhenti memainkan isu dan melupakan kesilapan kecil”.
“Mari kita maju bersama-sama berhubung isu-isu utama yang dihadapi negara ini. Jika kita ingin membuat desakan memungkinkan kerajaan baru, kita mesti berdiri bersama-sama.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA