Selasa, 29 November 2016

Bersihkah Dosa Mahathir setelah turun Bersih?


bersih-aTidak. Bersih tiada kaitan dengan ‘dosa’ Mahathir. Bahkan Bersih tidak bermula dengan Mahathir dan saya percaya ia tidak akan berakhir dengan Mahathir. Sendi Bersih merentas agama, ideologi, warna kulit, bahasa dan bangsa. Wilayahnya adalah pasak hak dan keadilan kepada rakyat miskin, sederhana dan kaya. Fokusnya anjal dan tidak statik, seiring dengan perubahan masa penganjuran, lazimnya menjadikan Pilihanraya Umum sebagai target. Kali ini, Bersih 5 datang dengan lima tuntutan.
Tulisan ini diluncurkan sehari sebelum tarikh genap 10 tahun pelancaran rasmi Bersih di lobi Parlimen pada 23 November 2006. Ketika itu, ia disertai oleh parti politik pembangkang dari PAS, PKR, DAP dan PSM termasuk NGO-NGO seperti MTUC, WDC dan SUARAM.
Tulisan ini seterusnya diluncurkan bagi melontarkan sisi pandang penyertaan Tun Dr. Mahathir Mohamed ke Bersih 5, setelah pada tahun sebelumnya juga muncul di Bersih 4.
bersib-b
Berbeza dengan Bersih 1 hingga Bersih 3, Bersih 4 dan Bersih 5 dikejutkan oleh kemunculan Tun Dr. Mahathir. Jika kemunculan Tun pada Bersih 4 seketika cuma, kemunculan pada Bersih 5 seolah-olah menimbulkan panik lagi bingung kepada lawannya. Lantas ibarat askar yang diserang hendap, dimuntahkan saja peluru daripada hujung picu tanpa hala tuju. Ia respon balas segera kerana Tun pada awalnya tidak akan turun!
Benar, terlalu banyak ‘dosa’ Tun jika mahu dihitung sepanjang 22 tahun berada di puncak kekuasaan. Beliau ‘membunuh’ kepimpinan berpotensi pernah dilahirkan oleh bangsa Melayu. Tun Musa Hitam dikerandakan kerjaya politiknya, Tengku Razaleigh Hamzah dihumban dari arus perdana dan hanya gah dalam bulatan pengaruh sendiri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diperlaku dengan sehina-hinanya sekali.
Lebih teruk daripada itu, ‘dosa’ Tun juga seputar pada menyebabkan kegagalan dan/atau penyiasatan ke atas kes kroni melibatkan Barisan Nasional (BN) seperti isu siasatan lanjut dalam kes PERWAJA dan Mendiang Eric Chia, penyelewengan dana awam untuk kepentingan BN seperti isu rompakan royalti minyak Terengganu ditukarkan menjadi wang ehsan, menyalahgunakan akta ‘drakonian’ seperti kes ISA, OSA dan Akta Mesin Cetak bagi kepentingan BN seperti ketika Operasi Lalang, Tragedi Memali dan Gerakan Reformasi, mempengaruhi integriti dan kebebasan kehakiman seperti kes fiasco Tun Salleh Abbas dan kes Liwat I Anwar.
Ini semua menjustifikasikan gelaran yang dilemparkan kepada Mahathir sebagai si ‘Mahafiraun’. Sehingga Litar F1 Sepang dipotretkan menyerupai gambaran hidung Tun menandakan bongkak, angkuh dan sombong dengan kekuasaan. Kalau diikutkan hati kita ini, boleh jadi jika seluruh lautan yang memenuhi dunia dijadikan dakwat untuk menulis ‘dosa’ Mahathir pun nescaya tidak akan habis ditulis sekalipun kering lautan tersebut. Persoalannya, sampai bila?
Tun menginjak ke usia 91 tahun. Ada sakit. Sakit orang tua. Tun hilang jawatan Pengerusi Proton. Tun tiada lagi di kerusi Penasihat Petronas. Ia harga mendapatkan hak yang adil kepada rakyat.
Ucapan Tun di Bersih 5 pun termengah-mengah. Sekejap dengar sekejap tidak. Mungkin penangan 10 jam penerbangan dari Sudan di sebalik usia semakin senja. Tun boleh saja berterusan menghirup secangkir kopi dengan kepingan biskut. Tun boleh saja berterusan melayan hidup dengan belakangnya dipanjat-panjat oleh cucu-cicit ketika sujud atas tikar sejadah. Tun boleh saja berterusan menikmati duit pencen kerajaan dan makan angin di luar negara.
bersih-cTetapi mengapa jalan ini dipilih?

1MDB seumpama ‘ibu kepada segala kezaliman’ kepimpinan hari ini. Peguam Negara dipencenkan, Gabenor Bank Negara digantikan, Pengarah SPRM ditukarkan, Jawatankuasa PAC di kalangan BN dilantik sebagai Menteri dan Timbalan Menteri antara contoh kebobrokan sang penguasa bagi mensucikan isu 1MDB. Juga, berapa banyak lagi agensi awam yang mahu kita biarkan untuk menyemalatkan hutang 1MDB? Berapa ramai lagi rakyat seperti Rafizi yang mahu kita biarkan dihukum penjara kerana mendedahkan penyelewengan pemerintahan negara? Nilai Ringgit Malaysia pula makin lemah. Makan di luar, kena caj GST. Makan di rumah, minyak masak ditarik subsidi. Terbaru, caj di hospital turut akan dinaikkan.

Persoalannya, sejauh mana seluruh rakyat Malaysia sedar duit mereka ditarik perlahan-lahan atas pelbagai nama ; ‘rasionalisasi subsidi’ atau ‘mengikut harga pasaran’ yang semuanya adalah untuk menampung perbelanjaan dan membayar hutang negara? Rakyat yang waras faham bahawa konsep hidup bernegara seharusnya menelurkan sedikit-sebanyak sumbangan mereka kepada negara namun masih waraskah kita apabila dalam masa sama pula membiarkan Jho Low bergelumang dengan duit di sana-sini?
Tun telah menggunakan segala saluran yang ada untuk ‘menasihati’ Najib namun ia tidak diendahkan. Saluran dalaman, saluran proksi hatta saluran Majlis Raja-Raja. Semuanya. Tiada hasil.
Akhirnya, Tun melihat penambahbaikan institusi yang dimahukan wujud oleh Bersih. Bahkan Tun sebelum itu memandangnya pula hatta ke tahap kerjasama dengan parti politik pembangkang. Kali ini, bukan lagi menjatuhkan Najib tetapi keseluruhan komponen BN yang merosakkan ‘sistem nilai’ pemerintahan negara.
Benar, Tun juga pernah melakukan perkara sama bahkan boleh jadi lebih teruk. Jika diumpamakan komponen sebuah keluarga, Tun ialah seorang ayah. Seorang ayah jarang memohon maaf apabila melakukan kesilapan. Egois seorang lelaki. Lelaki biasanya memohon maaf melalui perbuatan. Hakimi lelaki lebih kepada perbuatan berbanding perkataan. Perbuatan Tun menggempur BN seolah-olah menggambarkan kemaafan berpinta-pinta daripada rakyat Malaysia. Walau, saya lebih suka Tun turut menuturkannya dengan kata-kata. Ia lebih mengharmonikan mengambil kira sinergi antara perkataan dan perbuatan.
Hari ini segala ungkapan Tun menjurus ke arah ‘common point of agreement’ atau kalimatin-sawa’ (dalam bahasa Qurani). Bukankah ia ‘bahasa’ yang kita tuturkan setiap hari? Benar, Tun banyak ‘dosa’. Namun bukankah lebih baik bersama si ‘syaitan yang dikenali’?
Sedangkan Firaun pun bertaubat sebelum mati walau tidak diterima kerana nyawa telah berada pada halkum apatah lagi ‘Mahafiraun’, kan? Jika Tun benar-benar telah bertaubat dan nyawa pula masih belum berada pada halkum lagi, siapa kita untuk mengambil alih urusan Tuhan?
Lalu, usah menjadi Tuhan menghakimi Tun bersama dengan Bersih. Lalu, usah umpamakan mengajar doa tidur pada saat perlunya melawan kezaliman mentang-mentang kami tiada isteri kanan-kiri untuk dipeluk. Lalu, usah mengajar kami dalam dunia demokrasi yang dijamin hak berhimpun dan bersuara dalam Perlembagaan bahawa satu-satunya adalah melalui pilihanraya sedangkan padang tidak sama rata. Sampai bila kita mahu bertahan berpeluk tubuh dengan ‘sistem nilai’ pemerintahan yang rosak dan merosakkan?
Albert Einstein pernah menyebut, dunia jadi tempat celaka untuk didiami bukan kerana kejahatan yang dilakukan para penjahat, tetapi akibat mereka yang diam tidak buat apa-apa. Lebih kurang begitulah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA