Khamis, 3 November 2016

BERSIH5 ikut pelan asal, himpun dekat Dataran Merdeka

BERSIH tetap meneruskan perhimpunan dijadual pada 19 November ini di tempat yang ditetapkan, namun tidak akan memasuki Dataran Merdeka.
Pengerusi pertubuhan pendesak reformasi pilihan raya itu, Maria Chin Abdullah, berkata hasil pertemuannya dengan pihak polis hari ini, mereka akan meneruskan perhimpunan BERSIH5 mengikut rancangan asal.
"Polis tak kata boleh berhimpun atau tidak, tapi kami akan teruskan (berhimpun) seperti diumum sebelum ini.
"Peserta akan mula berkumpul di Dataran Maybank dan Masjid Negara sebelum menuju ke Dataran Merdeka.
"Kami tidak akan masuk ke padang di Dataran Merdeka sebaliknya hanya berada berhamppiran kawasan itu," katanya.
Maria ditemui pemberita di luar pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur hari ini.
Pertemuan itu dibuat bagi menyampaikan notis kepada pihak berkuasa sekurang-kurangnya 10 hari sebelum perhimpunan mengikut peraturan APA 2012.
BERSIH sebelum ini mengumumkan dua lokasi berkumpul pada perhimpunan BERSIH5 nanti, iaitu Dataran Maybank di Jalan Bangsar dan Masjid Negara.

Seterusnya, para peserta akan berjalan dan berhimpun di Dataran Merdeka.
Perhimpunan berkenaan bermula pada jam 10 pagi dan berlanjutan sehingga 6 petang.
Menurut Maria larangan dikeluarkan pihak berkuasa - polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) - hanya membabitkan Dataran Merdeka dan Jalan Raja.
"Justeru kita tidak akan masuki dua kawasan ini. Kami menghormati DBKL," kata Maria.
Sementara itu timbalan Maria Chin, Shahrul Aman Mohd Razali berkata beliau berharap peserta BERSIH5 memberikan kerjasama yang sepenuhnya kepada arahan yang dikeluarkan.
"Rakyat Malaysia yang akan turut serta bersama berhimpun nanti perlu memberi kerjasama sebagai tanda solidariti terhadap lima tuntutan BERSIH sebagai mercu tanda ke arah pilihan raya bersih dan adil," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA