Ahad, 20 November 2016

Bersih ikrar berjuang hapuskan Sosma

Fadiah Nadwa Fikri berkata, penahanan Maria bertujuan melenyapkan tuntutan Bersih bagi memastikan pilihan raya bebas dan adil.
Fadiah-Nadwa-Fikri
KUALA LUMPUR: Bersih 2.0 berikrar akan berjuang habis-habisan bagi memastikan pemansuhan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau Sosma, susulan penahanan pengerusinya, Maria Chin Abdullah di bawah undang-undang anti keganasan itu.
Ahli Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, Fadiah Nadwa Fikri berkata, penggunaan Sosma bertujuan mendiamkan Bersih yang mahu memastikan pilihan raya bebas dan adil.
“Peguam tidak dapat berjumpa Maria. Dan kami juga tidak tahu di mana dia ditahan,” katanya pada sidang media hari ini, sehari selepas perhimpunan Bersih 5 semalam.
Gerakan Baju Merah diketuai Datuk Seri Jamal Yunos yang turut ditahan polis awal pagi semalam, turut mengadakan perhimpunan balas semalam.
Dalam satu kenyataan hari ini, Bersih menuntut pembebasan segera Maria, ahli dan pemimpin pembangkang serta aktivis Bersih yang lain.
Semalam, bekas Pengerusi Bersih 2.0, Ambiga Sreenevasan berkata, permohonan habeas corpus akan difailkan untuk membebaskan Maria.
Fadiah berkata, Maria ditahan di bawah peruntukan mengenai aktiviti memudaratkan demokrasi berparlimen dan boleh dijatuhkan hukuman penjara sehingga 15 tahun, jika sabit kesalahan.
Katanya, Sosma adalah undang-undang zalim kerana ia memperuntukkan hukuman berat bagi mereka yang dianggap menentang demokrasi berparlimen dan digunakan untuk menutup mulut masyarakat serta pengkritik.

Pada sidang media hari ini, 4 kerusi dibiarkan kosong sebagai tanda solidariti terhadap aktivis Bersih yang ditahan polis, iaitu Maria, Mandeep Singh, Safwan Anang dan Hishamuddin Rais.
Individu lain yang turut ditahan termasuk Adun DAP Pasir Pinji, Howard Lee; bekas exco Selangor, Ronnie Liu; Ahli Jawatankuasa Parti Sosialis Malaysia, S Arutchelvam; Ahli Parlimen PKR Batu, Tian Chua; Ahli Parlimen PKR Ampang, Zuraida Kamaruddin; pereka grafik, Fahmi Redza; aktivis pelajar, Muhamad Luqman Nul Haqim Zul Razali dan Anis Syafiqah Md Yusof serta ahli DAP Wong Chee Wai @Jimmy Wong dan Lee Khai Meng.
Exco Pemuda Umno, Datuk Armand Azha Abu Hanifah bersama aktivis gerakan Baju Merah, Hairol Nizam Md Nor dan Razali Zakaria turut ditahan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA