Jumaat, 18 November 2016

Bersih 5 ujian besar buat pembangkang

Menurut laporan Bloomberg, jika kadar kehadiran peserta Melayu rendah, ia akan menunjukkan sokongan pengundi luar bandar kepada Najib masih kuat.
bersi5_rakya
KUALA LUMPUR: Perhimpunan Bersih 5 esok akan menunjukkan sama ada pembangkang berjaya mendapat kepercayaan lebih ramai pengundi Melayu.
Bloomberg melaporkan, ia juga akan menunjukkan betapa kuatnya kedudukan Datuk Seri Najib Razak di kalangan ahli akar umbi Umno yang tidak puas hati dengannya.
Laporan itu turut menyentuh langkah yang perlu diambil untuk menggagalkan Bersih 5, termasuk usaha Umno bagi menjatuhkan kumpulan reformasi itu.
Pembangkang berusaha menarik orang Melayu jauh daripada rasa tidak puas hati terhadap kos sara hidup dan dakwaan rasuah terhadap Najib dan 1MDB.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menubuhkan parti baharu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang menyasarkan sokongan daripada ahli Umno.
Bloomberg memetik Ooi Kee Beng, timbalan pengarah ISEAS-Institut Yusof Ishak di Singapura berkata, teras Umno adalah selamat, tetapi setiap teras ada pinggirnya.
“Pinggir itulah yang menjadi pertaruhan. Apabila ahli-ahli Umno tidak puas hati dengan Najib bertukar arah, itulah titik perubahannya.”
Menurut penganalisis, kehadiran yang ramai pada Sabtu diperlukan untuk menjadi tarikan.
Sholto Byrnes, felo kanan di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia di Kuala Lumpur berkata: “Jika orang Melayu tidak membentuk sebahagian besar peserta Bersih, ia akan menunjukkan pembangkang gagal memenangi hati pengundi yang diperlukannya, masih bergantung kepada terasnya, iaitu orang Cina liberal dan bandar.
“Ia adalah ujian besar buat pembangkang.”
Menurut laporan itu, Najib berjaya mengelak daripada skandal, sebahagian besar dengan memberi peruntukan kepada petani, penjawat awam dan rakyat berpendapatan rendah.
Pun begitu, laporan itu menyatakan, usaha Umno untuk menjatuhkan Bersih menunjukkan Najib tidak leka dengan kuasanya, terutama beberapa bahagian ekonomi sudah hilang daya tarikan.
Gerakan Baju Merah yang diketuai Datuk Jamal Yunos memberi amaran akan mengganggu perhimpunan Bersih 5 melalui penganjuran himpunan balas, esok.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dilaporkan berkata, parti itu langsung tiada kaitan dengan gerakan Baju Merah.
Semalam, Najib berkata, beliau tidak mahu melihat pertembungan fizikal antara penyokong Bersih serta Baju Merah, pada Sabtu, namun pejabat Najib tidak menjawab permintaan Bloomberg untuk berhubung kenyataan itu.
Menurut laporan itu, pemimpin Islam menasihatkan umat Islam tidak menyertai protes anti-kerajaan itu, selain kumpulan individu bertindak menghalau konvoi Bersih 5 dari kawasan luar bandar bagi memaklumkan orang ramai mengenai perhimpunan itu.
Matlamat konvoi Bersih 5 ke bandar-bandar kecil ialah untuk mencapai pengundi Melayu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA