Sabtu, 19 November 2016

Bersih 5 tetap diteruskan tanpa Maria Chin

Penangkapan Maria Chin dan Mandeep oleh pihak polis hanya menguatkan semangat mereka untuk meneruskan himpunan.
maria chin bersih5
PETALING JAYA: Penahanan Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah dan urus setianya, Mandeep Singh dalam serbuan di pejabat NGO itu, tidak menjejaskan perancangan bagi himpunan Bersih 5 esok.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Ahli Jawatankuasa Induk Bersih 2.0, tindakan itu hanya menguatkan semangat mereka untuk meneruskan himpunan esok.
“Penahanan Mandeep, Maria dan tidak mengubah apa-apa. Bersih 5 akan diteruskan seperti dirancang dan kami berharap tindakan pihak pihak berkuasa ini akan mendorong rakyat Malaysia turun ke jalanan esok bukan sahaja untuk menuntut pembaharuan institusi tetapi untuk membantah ketidakadilan yang berlaku di negara ini,” kata kenyataan itu.
Maria disiasat di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan kerana aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen manakala Mandeep disiasat di bawah Seksyen 147 kerana merusuh dan 511 terhadap tindakan-tindakan yang boleh dihukum dengan penjara. Mereka dijadual dibawa ke IPK Kuala Lumpur.
Bersih 2.0 juga mengutuk serbuan dan menganggapnya sebagai penyalahgunaan kuasa kerana tiada waran atau sebab sah bagi serbuan dan tangkapan disediakan pihak berkuasa.
“Pihak berkuasa mengambil langkah-langkah terdesak dengan usaha yang sia-sia untuk menghentikan perhimpunan Bersih 5,” katanya.
Ia turut membidas sikap berat sebelah pihak polis kerana membiarkan pemimpin Baju Merah, Datuk Jamal Yunos masih bebas walaupun boleh didakwa di bawah beberapa seksyen dalam Kanun Keseksaan.
Pada 3.12 petang tadi, pejabat Bersih 2.0 di Petaling Jaya diserbu oleh 10 polis dari Bukit Aman di bawah Seksyen 124 (C) Kanun Keseksaan berhubung dakwaan pembiayaan OSF terhadap Bersih.

Ketika kejadian, Timbalan Pengerusi, Shahrul Aman; bendahari, Thomas Fann; ahli jawatankuasa pemandu, Jay Jay Denis; pengurus sekretariat, Mandeep Singh; pegawai sokongan, Zoe Randhawa; pegawai pentadbiran, Maisara; dan pegawai media, Yap Pik Kuan, turut ada.
“Pegawai-pegawai polis mengepung semua orang dan mengambil telefon bimbit serta kad pengenalan. Mereka biadap dan bertindak seperti samseng, menolak Thomas ke tepi dan pada satu ketika, cuba memutuskan percakapan telefon Mandeep, yang mereka rampas dengan ganas.
Secara keseluruhan, 10 komputer riba (termasuk pengecas), pemacu pen, cakera keras, fail gaji, penyata bank, dan dokumen berkaitan dengan Yayasan 18 Mei dirampas.
Mereka juga mengambil beberapa gambar pejabat. Serbuan itu berlangsung selama 2 jam, yang berakhir pada pukul 5.15 petang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA