Ahad, 20 November 2016

Bersih 5: Tangkapan tak jejas semangat bawa perubahan

Siri tahanan berterusan membabitkan pimpinan pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tidak melemahkan semangat rakyat bagi melakukan perubahan terhadap landskap politik dan pentadbiran kerajaan di negara ini.
Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perjuangan rakyat bakal berterusan untuk tujuan itu dan sebarang usaha dilakukan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pastinya berdepan laluan berliku.

“Segala tindakan dibuat tidak melemahkan semangat kita bagi meneruskan segala usaha malah ia mengukuhkan perpaduan bagi menentang sebarang penindasan,” katanya kepada media di luar Pusat Tahanan Berpusat Jinjang di sini, hari ini.
Selepas himpunan BERSIH 5 semalam, polis bertindak menahan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dan Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.
Mengulas lanjut, Dato’ Menteri Besar Selangor itu berkata, difahamkan polis meneruskan beberapa siri tahanan dalam tempoh terdekat selepas ini namun Pakatan Harapan (Pakatan) dan pimpinan NGO lain akan terus berusaha bagi pembebasan mereka kerana tiada sebarang kesalahan dilakukan.
Katanya, rakyat berhak bersuara dan berhimpun secara aman seperti mana berlaku terhadap BERSIH 5 apabila ramai keluar dan hadir bersama-sama menyatakan sokongan.
“Kita percaya terhadap kebijaksanaan rakyat dan diyakini mereka bersedia untuk satu perubahan dalam pilihan raya umum akan datang.
“Diharapkan kita akan menyaksikannya dengan pembentukan pentadbiran kerajaan baru di Putrajaya,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA