Khamis, 17 November 2016

Bersih 5 ruang protes anak muda


Mohd Sany Hamzan Mohd Sany Hamzan Himpunan Bersih 5 sebenarnya ruang untuk golongan muda menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap bebanan peningkatan kos sara hidup yang gagal dikawal oleh kerajaan.
Ketua Pemuda Amanah Nasional, Mohd Sany Hamzan berkata, himpunan yang menuntut pilihan raya tanpa penipuan itu penting bagi anak muda yang mahukan kualiti hidup mereka dan masa depan negara yang lebih terjamin.
“Kita mahu menyelamatkan negara dengan kerajaan bersikap adil terhadap soal kualiti hidup anak muda. Tindakan nekad pemuda, Mohd Shukri Saad juga seorang peniaga kedai runcit terjun laut baru-baru ini patut membuka mata tentang tekanan hidup rakyat pada masa ini.
“Malangnya, dalam Bajet 2017, kerajaan memotong peruntukan pendidikan dan tidak nampak usaha untuk menangani kenaikan kos hidup. Ini menyedihkan kepada anak muda.
“Hari ini harga petrol naik. Harga minyak masak naik berganda selain tentunya dengan kesan kenaikan harga barangan keperluan akibat cukai menindas GST yang tinggi kadar peratusannya,” ujar beliau ketika ditemui di Wisma Amanah, baru-baru ini.
Sehubungan itu, Sany menyeru ratusan ribu anak muda dari seluruh pelosok tanah air tanpa mengira latar ekonomi membanjiri ibu negara dalam himpunan Bersih 5, Sabtu ini.
“Kami di peringkat Pemuda Amanah dan Pemuda Pakatan Harapan menyeru ramai-ramai anak muda turun bagi menghantar isyarat jelas kita menolak kepimpinan sedia ada yang korup dan menyusahkan rakyat.
“Ini adalah himpunan rakyat yang mahu menyelamatkan negara. Ini adalah ruang untuk anak muda bersuara dan menunjukkan kuasa yang mereka ada selain mengeluh atau mengutuk di media sosial,” tegas Sany lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA