Jumaat, 18 November 2016

Bersih 5: Polis malas laksanakan tugas?


Wan Anwar Wan IbrahimWan Anwar Wan IbrahimBiro Undang-Undang (Kanun) Amanah mengingatkan pihak polis supaya mempertahankan sistem demokrasi di negara ini memandangkan hak berhimpun sebagai antara daripada prinsip tunjang kepada nilai demokratik.
Timbalannya, Wan Anwar Wan Ibrahim berkata, tuntutan tersebut perlu dipenuhi bukan dengan cara menunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia ini adalah negara polis.
“Adakah pihak polis malas untuk melaksanakan tugas mereka selaras dengan kehendak undang-undang atau pihak polis merasakan mereka lebih besar daripada Mahkamah dan Perlembagaan yang secara jelas memberikan hak untuk berhimpun?” bidasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan pihak polis yang dilapor melabelkan himpunan aman Bersih 5 sebagai ‘demonstrasi haram’.
Menurutnya, pihak polis harus merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan injunksi sekumpulan peniaga semalam untuk menghalang Bersih 5.
“Ternyata Bersih 5 adalah sebuah perhimpunan yang aman. Malah Mahkamah Tinggi juga memutuskan bahawa menurut peruntukan Seksyen 18 Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736), pihak polis hendaklah mengalihkan perhimpunan balas yang ingin dianjurkan oleh kumpulan Baju Merah jika mereka tahu bahawa sememangnya akan berlaku pertembungan antara dua perhimpunan ini,” jelasnya.
Pada masa sama, pihaknya turut membidas Menteri Pendidikan dan Ketua Setiausaha Negara yang dilapor media menghalang golongan guru serta penjawat awam daripada menyertai perhimpunan aman Bersih 5 dengan ugutan pemecatan dan potongan gaji.
“Staf-staf dan ahli-ahli akademik serta mahasiswa-mahasiswi di IPT (institusi pengajian tinggi) juga dihalang daripada menyertai Bersih 5 oleh universiti masing-masing.
“Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) sendiri menekankan bahawa halangan tersebut jelas bercanggah dan melanggar Perkara 10 (1) Perlembagaan serta Akta Perhimpunan Aman 2012 yang memberikan hak kepada rakyat untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata!” tegasnya.
Sehubungan itu, Wan Anwar berkata, pihak Kanun memberi jaminan bahawa kumpulan peguam biro berkenaan akan membela hak warganegara yang dizalimi dalam perhimpunan aman ini sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini.

“KANUN sekali lagi menyeru seluruh rakyat Malaysia agar jangan ragu-ragu dan takut untuk turun dalam perhimpunan aman Bersih 5 bagi menuntut hak-hak yang telah dinafikan oleh kerajaan Umno-Barisan Nasional.
“Ayuh kita meramaikan dan memeriahkan pesta demokrasi terbesar ini!” serunya lagi yang juga Naib Ketua Pemuda Amanah Nasional.
Dalam hal berkaitan, Setiausaha Agung Amanah, Anuar Tahir pada sidang media 15 November lalu memaklumkan seramai 55 peguam Kanun akan bertugas sepanjang himpunan Bersih 5 esok.
Pada masa sama, ujarnya lagi, seramai 50 pegawai perubatan daripada ARIF Medical Team serta 30 wartawan dan 20 jurugambar juga akan berada di lokasi himpunan menuntut proses pilihan raya tanpa penipuan itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA