Khamis, 24 November 2016

Bersih 5: Pemuda Amanah serah memorandum kepada Suhakam

Pesuruhjaya Suhakam, Datuk Lok Yim Pheng menerima memorandum Pemuda AMANAH Nasional mengandungi tiga tuntutan. Pesuruhjaya Suhakam, Datuk Lok Yim Pheng menerima memorandum Pemuda AMANAH Nasional mengandungi tiga tuntutan.
Pemuda Amanah Nasional hari ini menyerahkan memorandum bantahan tangkapan dan penahanan ke atas aktivis serta penggerak Bersih kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).
Ketuanya, Sany Hamzan berkata, memorandum tersebut mengandungi tiga tuntutan supaya pihak Suhakam memainkan peranan aktif sesuai dengan kedudukannya dalam memupuk dan mempertahan hak asasi manusia di negara ini.
Tiga tuntutan tersebut adalah kesemua aktivis dan penggerak Bersih yang ditahan diisytiharkan sebagai penahanan tidak sah (unlawful detention); pihak polis membebaskan segera Pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah serta Parlimen Malaysia didesak memansuhkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).
“Kami, Pemuda Amanah Nasional menyatakan bantahan terhadap tangkapan dan penahanan yang dilakukan ke atas aktivis masyarakat serta penggerak Himpunan #Bersih5.
“Seperti mana yang telah sedia maklum, tangkapan awal telah dibuat pihak polis sehari sebelum berlangsungnya Himpunan #Bersih5 di Pejabat Bersih, Petaling Jaya,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Selanjutnya, memorandum itu menyenaraikan kesemua 10 mereka terlibat iaitu paling awal adalah Pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah dan Pengurus Sekretariat BERSIH, Mandeep Singh.
Senarai berikutnya adalah, Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke; bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ronnie Liu serta Ahli Jawatankuasa Parti Sosialis Malaysia (PSM), S. Arutchelvan.
Turut ditahan Ahli Jawatankuasa Pemandu Bersih, Safwan Anang serta aktivis mahasiswa, Luqman Nul Hakim Zul Razali dan Anis Syafiqah yang juga Pengerusi KESATUAN juga Jimmy Wong dan Lee Khai Ming masing-masing ahli DAP.
Mengulas lanjut, Sany berkata, sebahagian besar daripada mereka malangnya disiasat di bawah peruntukan yang langsung tidak munasabah seperti Akta Hasutan, Seksyen 147, Seksyen 153 dan Seksyen 124C.

“Malah ada yang tidak mengetahui secara jelas dan konsisten bahawa penahanan dan siasatan yang dibuat ke atas mereka tertakluk bawah akta yang mana!
“Lebih teruk, Pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah yang pada awalnya disiasat bawah Seksyen 124C, telah ditukar secara drastik kepada Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 – SOSMA, sekaligus meragut hak kebebasan beliau sebagai warganegara dengan tidak dibebaskan hingga kini,” tegas Sany lagi.
Memondum yang diserahkan di Ibu Pejabat Suhakam di Menara Tabung Haji di Kuala Lumpur itu diterima oleh Pesuruhjaya Suhakam, Datuk Lok Yim Pheng.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA