Ahad, 20 November 2016

Bersih 5: Peguam mengadu sukar jumpa aktivis ditahan

Beberapa peguam mengadu mereka perlu menunggu hampir 6 jam sebelum polis membenarkan seorang daripada mereka menemui 4 tahanan.
Dinesh-Mutha_bersih_;aw_600
PETALING JAYA: Polis menyukarkan peguam menemui anak guam mereka yang ditahan berhubung perhimpunan Bersih, menurut wakil beberapa peguam bagi 4 tahanan.
Dinesh Muthal yang bercakap bagi pihak dirinya dan 3 peguam lain dari Kuala Lumpur Urgent Arrest Team memberitahu FMT, mereka menunggu hampir 6 jam di pintu masuk Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur, semalam, sebelum polis membenarkan hanya seorang daripada mereka menemui anak guam.
Dinesh dan rakan sekerjanya – Lim Chi Chau, Jacky Loi dan Arina Ong – mewakili Adun Perak Howard Lee, aktivis politik Hishamuddin Rais, pereka grafik yang juga aktivis Fahmi Reza dan seorang peserta Bersih bernama Siew Teck Soon yang didakwa menggunakan dron ketika perhimpunan itu.
Dinesh berkata, polis akhirnya membenarkan Loi menemui anak guamnya selama 10 hingga 15 minit sebelum memindahkan mereka ke Balai Polis Daerah Dang Wangi sementara menunggu permohonan reman yang akan dibuat hari ini.
Dalam pada itu, Kesatuan Pemuda Sosialis Antarabangsa (IUSY) turut mengutuk penahanan Lee yang juga presidennya dan ahli pembangkang lain.
“IUSY dan YES (Young European Socialist Members Organisation) mengutuk penahanan secara tiba-tiba dan tidak adil Presiden IUSY, Howard Lee dan ahli pembangkang lain di Malaysia.

“IUSY dan YES menuntut pembebasan segera presiden Lee dan menghentikan semua tangkapan didorong politik di Malaysia, serta menyeru hak manusia dan politik mereka dihormati,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, Bernama memetik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai berkata, lebih ramai peserta perhimpunan Bersih 5 dan Baju Merah akan ditahan untuk didakwa di mahkamah.
Katanya, senarai nama individu terbabit dalam kedua-dua perhimpunan itu sudah dikenal pasti, tetapi tidak menamakan mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA