Jumaat, 18 November 2016

Bersih 5: Mahkamah beri laluan, KPN kata haram



Lima tuntutan Bersih 5.Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur lewat petang semalam menolak permohonan tiga kumpulan untuk menghalang Bersih 5 dan perhimpunan Baju Merah, Sabtu ini.
Hakim S Nantha Balan berkata plaintif dalam permohonan injuksi inter-parte tidak menunjukkan merit dan beliau justeru menolaknya.
Beliau juga menyuarakan rasa terkejut apabila peguam Bersih dan Baju Merah sama-sama menolak permohonan itu, lapor Malaysiakini.
“Luar biasa sekali Baju Kuning dan Baju Merah boleh sepakat terhadap permohonan injuksi peniaga-peniaga di sekitar Dataran Merdeka,” katanya.
Penghakiman itu disampaikan pada 7.20 petang dan tamat 15 minit kemudian.
Nantha Balan juga berkata mahkamah tidak dapat mengisytiharkan sesebuah perhimpunan itu sebagai haram.
Permohonan itu dibuat oleh persatuan peniaga di Jalan Masjid India, Lorong Jalan Tuanku Abdul Rahman traders dan Medan Mara di Kuala Lumpur.
Mereka mendakwa mewakili kira-kira 1,000 peniaga.
Mereka menamakan pengerusi Bersih 2 Maria Chin Abdullah, Bersih & Adil Network Sdn Bhd, dan Gabungan NGO Gerakan Merah Malaysia dan pemimpin mereka Datuk Seri Jamal Md Yunos.
Saman itu difailkan oleh tetuan Rabia dan Farain.
Peniaga-peniaga mendakwa mereka rugi kira-kira RM800 sehari dan lebih banyak lagi ketika hujung minggu dan bimbang perhimpunan Sabtu itu menjejaskan pendapatan mereka.
Dalam perkembangan berkaitan, polis mengklasifikasikan perhimpunan Bersih 5.0 dan geng Baju Merah di ibu kota Sabtu ini sebagai 'demonstrasi haram'.
Menurut Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, kedua-dua perhimpunan itu gagal mematuhi peruntukan undang-undang khususnya Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012, lapor Bernama.

Beliau berkata pihaknya akan mengambil tindakan mengikut undang-undang sedia ada memandangkan perhimpunan yang bakal diadakan itu tidak mendapat kelulusan pemilik tempatnya.
"(Penganjur) kenapa degil sangat, tuan tempat tidak benarkan mereka (peserta) gunakan tempat itu, sepatutnya mereka perlu cari tempat lain.
"Hak bersuara, kita (polis) hormati tetapi mereka perlu juga hormati hak peniaga dan pelancong yang ingin berkunjung di Kuala Lumpur, kerana mereka juga ada hak," katanya pada sidang media selepas merasmikan Kempen Palestin Tidak Dilupakan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), di Bukit Aman semalam.
Sehubungan itu Khalid menasihatkan orang ramai agar tidak menyertai mana-mana perhimpunan berkenaan yang jelas tidak mematuhi peruntukan undang-undang.
"Kita tidak mahu Malaysia jadi seperti Palestin. Keamanan sedia ada sepatutnya dikekalkan, bukannya buat kecoh di merata tempat," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata persiapan rapi telah dilakukan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini jika perhimpunan diteruskan.
"Orang ramai perlu sedar kita ada undang-undang. Kalau ianya tidak mahu dipatuhi, untuk apa undang-undang itu ada.
"Polis akan pastikan negara aman, sejahtera dan tenteram. Jika ada jalan yang akan ditutup kita akan maklumkan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA