Sabtu, 19 November 2016

Bersih 5: Lima mesej sepanduk, lima pasukan bantu peserta


Langkah keselamatan Bersih 5
Para peserta himpunan Bersih 5 hari ini diminta bekerjasama untuk peka dengan lima arahan melalui sepanduk dari semasa ke semasa sepanjang perhimpunan itu berlangsung.
Melalui video penerangan dikeluarkan pihak Bersih 2.0, orang ramai dinasihatkan mematuhi arahan terlibat iaitu DUDUK, SENYAP, BUKA LALUAN, UNDUR dan BERSURAI bagi memastikan perhimpunan tersebut berjalan lancar.
“Lihat sekeliling anda untuk arahan-arahan ini dan patuhinya untuk mengelakkan kekalutan pada Bersih 5,” dipetik daripada rakaman tersebut yang viral di media sosial.
Pesanan ringkas itu juga memberitahu tentang identiti lima pasukan yang akan membantu kelancaran Bersih 5 iaitu keselamatan, marshal trafik, kumpulan medik, pegawai ‘Urgent Arrest’, dan sukarelawan am.
Pasukan keselamatan Bersih 5 mengenakan pakaian berwarna ungu dengan tulisan ‘Keselamatan Bersih 2.0’ di bahagian hadapan dan belakang kemeja-T.
“Tugas mereka untuk memastikan himpunan berlangsung dengan aman. Jika berlaku sebarang provokasi sila rujuk dan maklum kepada mereka,” dipetik daripada video berdurasi 1:37 minit itu.
Sementara itu, marshal lalu lintas memakai jaket tanpa lengan berwarna oren manakala kumpulan perubatan berjaket hijau juga tanpa lengan bertulisan ‘Medical Team’.
“Pasukan "Urgent Arrest" berjaket hitam tanpa lengan. Sekiranya anda menyaksikan sebarang tangkapan sila rujuk kepada mereka bagi tujuan membantu proses rundingan dengan pihak polis,” dipetik daripada rakaman itu lagi.
Pada masa sama, bagi memastikan kebersihan di lokasi perhimpunan Bersih 5 terkawal, pasukan sukarelawan am yang memakai jaket berwarna kuning akan bertugas bagi tujuan itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA