Ahad, 20 November 2016

Bersih 5: Ambiga ikrar guna semua cara bebaskan Maria

Ambiga berkata, penahanan Maria di bawah Sosma tidak boleh diterima.
Ambiga_maria-chin_600
PETALING JAYA: Satu permohonan habeas corpus akan difailkan untuk membebaskan Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau Sosma.
Pengkritik kerajaan berkata, penggunaan Sosma tidak wajar kerana undang-undang itu sepatutnya digunakan untuk menentang keganasan.
Bekas Pengerusi Bersih 2.0, Ambiga Sreenevasan berkata, penahanan Maria di bawah Sosma tidak boleh diterima.
Bercakap di hadapan peserta perhimpunan Bersih 5 di luar Pusat Beli-belah KLCC petang semalam, beliau berkata, writ habeas corpus akan difailkan.
“Kami akan melakukan semua yang boleh dalam kuasa kita untuk memastikan beliau keluar tidak lama lagi,” katanya yang dipetik Malaysiakini.
Maria dan urus setia Bersih, Mandeep Singh ditahan petang Jumaat lalu dalam serbuan ke atas pejabat Bersih di Petaling Jaya.
Maria disiasat di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan kerana aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen, manakala Mandeep disiasat di bawah Seksyen 147 kerana merusuh dan 511 terhadap tindakan-tindakan yang boleh dihukum dengan penjara.
Secara keseluruhan, 10 komputer riba (termasuk pengecas), pemacu pen, cakera keras, fail gaji, penyata bank dan dokumen berkaitan dengan Yayasan 18 Mei dirampas.
Bersih disiasat di bawah Kanun Keseksaan berhubung “aktiviti menjejaskan demokrasi berparlimen” selepas laporan media mengenai kebocoran dokumen Amerika Syarikat menyatakan gabungan untuk reformasi pilihan raya itu menerima dana Open Society Foundation (OSF) dikaitkan dengan jutawan, George Soros.

1 ulasan:

  1. Semua lawyer hendaklah bersatu membebaskan maria

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA