Rabu, 30 November 2016

Bersih 3: Enggan tinggalkan Pulapol, Tian Chua dipenjara sebulan

Suruhanjaya kehakiman mengekalkan hukuman yang dijatuhkan terhadap wakil rakyat PKR itu oleh Mahkamah Sesyen, 2 tahun lalu, atas kesalahan dilakukan ketika himpunan Bersih 3.
tian chua
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menjatuhkan hukuman penjara sebulan ke atas Ahli Parlimen Batu Tian Chua dan denda RM1,000 kerana enggan mematuhi arahan polis supaya meninggalkan kawasan Pusat Latihan Polis (Pulapol) ketika himpunan Bersih 3 pada 2012.
Suruhanjaya Kehakiman Nordin Hassan mengekalkan hukuman yang dijatuhkan terhadap wakil rakyat PKR itu oleh Mahkamah Sesyen, 2 tahun lalu.
Nordin juga memerintahkan sabitan pertuduhan itu kekal meskipun penghakiman bertulis daripada hakim perbicaraan sebelum ini tidak ditandatangani dan bertarikh.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan penangguhan menjalani hukuman, sehingga rayuan tertuduh selesai.
“Penghakiman yang dipertikaikan itu tidak menyebabkan sebarang prejudis terhadap perayu (Chua).
“Penghakiman yang tidak bertandatangan itu boleh dipulihkan menerusi Seksyen 422 Kanun Prosedur Jenayah,” katanya.
Nordin berkata penghakiman itu sah kerana kes Chua sudah selesai menjalani perbicaraan.
Hakim perbicaraan itu, Mahmud Abdullah yang sudah meninggal dunia, menjatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda RM1,000 terhadap Chua pada 23 Januari 2014.
Hukuman itu dijatuhkan selepas Chua didapati bersalah enggan mematuhi arahan polis untuk meninggalkan akademi polis itu, di bawah Seksyen 4(2) Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan.
Mahmud meninggal dunia pada Mei tahun sama.
Berhubung merit terhadap kes itu, mahkamah mendapati mahkamah rendah tidak melakukan sebarang kesalahan.
“Rayuan perayu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman terhadapnya ditolak dan rayuan pendakwa untuk menambah hukuman juga ditolak,” kata Nordin.
Pada 28 September, Chua turut didenda RM1,800 dan penjara 3 bulan oleh Mahkamah Sesyen lain kerana mengeluarkan kenyataan menghasut pada satu forum.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA