Isnin, 7 November 2016

BERSATU lebih 'mencabar' dari S46, pesan bekas SUA Umno

Bekas setiausaha agung Umno, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad memberi amaran kepada parti Melayu itu agar tidak memandang rendah keupayaan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau yang merupakan bekas ahli Parlimen Kangar berkata, Umno hari ini menghadapi cabaran yang lebih sengit berbanding saingan yang diberikan oleh parti serpihan Semangat 46 pada akhir 80-an.
Dari Umno, Radzi yang merupakan seorang peguam pernah menyertai Semangat 46 sebelum meninggalkan parti pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah atau lebih popular dengan panggilan Ku Li pada Oktober 1990 dan kembali menyertai semula UMNO tiga bulan kemudian.
Pada ketika itu, ujar beliau, lawan Umno hanya Ku Li seorang sahaja tetapi kini parti itu mempunyai ramai bekas pemimpin kanan parti sebagai penentang.
"Parti yang dipimpin oleh Mahathir hanya akan bertanding di kerusi Umno. Ini adalah cabaran besar bagi Umno," pesan Radzi, memetik laporan wawancara beliau bersama Oriental Daily.

Beliau meramalkan jika Umno dan PAS memilih untuk bekerjasama menjelang pilihan raya umum akan datang, mungkin kedua-duanya akan kecundang di tangan Pakatan Harapan dan BERSATU.
Mengenai isu kontroversi 1MDB, Radzi memberi amaran perkara itu akan mengambil masa sekurang-kurangnya 'satu generasi' untuk menjadi memori kerana telah meninggalkan kesan yang mendalam kepada landskap politik tempatan dan imej Malaysia di mata antarabangsa.
"Anda boleh mengatakan masyarakat luar bandar tidak mengambil berat tentang isu 1MDB, tetapi hutang itu akan dibayar oleh generasi akan datang.
"Mereka mungkin tidak tahu tentang 1MDB tetapi kenaikan kos sara hidup akan memberi kesan kepada kehidupan kerana 1MDB telah memberi kesan kepadanya," tambah Radzi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA