Rabu, 9 November 2016

Bersatu dicadang sertai Pakatan Harapan Sabtu ini

Bersatu dicadangkan menjadi parti komponen Pakatan Harapan dalam konvensyen pertama Sabtu ini.Bersatu dicadangkan menjadi parti komponen Pakatan Harapan dalam konvensyen pertama Sabtu ini.
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dicadangkan menyertai Pakatan Harapan (PH) sempena konvensyen pertamanya Sabtu ini bagi menjadikan gabungan mempunyai empat parti.
"Sewajarnya PH mengambil langkah untuk terus melemahkan UmnoBn dengan membina 'Grand Coalition' di kalangan parti pembangkang untuk bersiap sedia sebagai peneraju 'Malaysia Baru' selepas PRU14.
"Membawa PPBM (Bersatu) untuk menjadi anggota komponen PH adalah satu keperluan dan harapan bagi memberi keyakinan pada rakyat," kata ahli parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.
Datuk Mahfuz OmarDatuk Mahfuz OmarBagi bekas naib presiden dan ketua penerangan Pas itu, PH ialah 'Grand Coalition' atau pakatan besar adalah sebagai kerajaan menunggu.
"Tiada menghilang nama dan tiada mengurang bisa jika PPBM memohon untuk menyertai PH dan seterusnya semasa Konvensyen PH pada 12 Nov 2016 ini diistiharkan PPBM sebagai anggota komponen baru PH," katanya.
Katanya, apa yang berlaku sekarang PH bekerjasama dengan Bersatu.
"Ini tidak menunjukan kesatuan sebenar untuk rakyat mendukung parti pembangkang pada PRU14 nanti, bermula dari sekarang," katanya.
Bagi beliau, apabila sudah menjadi satu dalam PH barulah mudah untuk bersama melakar persekitaran politik, membina kekuatan bersama dan merancang kebijaksanaan, satu jiwa, satu nada dan satu rasa Malaysia.
"Maka,ianya merupakan pakatan politik yang jitu membela nasib rakyat dan besedia untuk berhadapan dengan Umno dan BN.
"Saya percaya jika ini yang terjadi, hasrat untuk melihat satu nama, satu lambang pada PRU14 akan menjadi kenyataan.
"Ini untuk Rakyat..Rakyat menunggu," kata Mahfuz dalam kenyataan itu.
PH akan mengadakan konvensyen pertamanya Sabtu ini di Ideal Convention Centre (IDCC), Sham Alam.
Dalam konvensyen itu, Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad dijemput untuk berucap pada paginya manakala presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menyertainya pada sebelah petang.
Mengikut jadualnya, PH akan memeterai perjanjian kerjasama dengan Bersatu pada sebelah petangnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA