Isnin, 7 November 2016

Belajar kesilapan, Bersih yakin ubah persepsi tahun lalu

Bersih 2.0 mengakui perhimpunan tahun lalu memberikan persepsi ia hanya disokong majoriti Cina, tetapi yakin perhimpunan akan datang akan mengubah tanggapan itu dengan penyertaan lebih ramai orang Melayu.
jay-jay-dennis-bersih
PETALING JAYA: Bersih 2.0 yakin perhimpunan yang akan diadakan pada 19 November nanti akan menarik lebih ramai peserta Melayu dan India, berbanding tahun lalu di mana majoriti peserta Cina menyebabkan beberapa pihak mempersoalkan penerimaan perjuangan Bersih.
Naib Pengerusi (Pantai Barat) Bersih 2.0, Jay Jay Dennis yakin tahun ini akan berbeza selepas melihat sendiri jelajah mempromosikan Bersih 5 di seluruh negara selama 5 minggu, di mana majoriti disertai orang Melayu.
“Dan saya rasa ia akan ditunjukkan pada himpunan 19 November.
“Kami nampak dari segi politik, orang Umno pun tak setuju dengan apa yang berlaku dalam Umno. Telah berlaku perluasan dalam parti Umno juga,” katanya kepada FMT.
Tahun lalu, himpunan 2 hari Bersih 4 mencetuskan perdebatan sama ada ia mewakili semua kaum di Malaysia.
Ini disebabkan majoriti peserta rata-rata merupakan kaum Cina, berbeza daripada perhimpunan Bersih sebelum itu.
Jay Jay berkata Bersih sudah mempelajari daripada kesilapan itu, dan mengambil keputusan menyebarkan mesejnya ke kawasan yang belum ditembusi.
“Sebab itu konvoi ini dijalankan supaya kami keluar dari zon selesa untuk ke tempat lain yang kami tak pernah pergi dulu, dan rakyat pun boleh nampak Bersih ini belajar daripada pengalaman kami tahun lepas dan buat cara baru tahun ini,” katanya.
Menurutnya, semakin ramai daripada masyarakat Melayu tidak bersetuju dengan Umno.
“Yang tak setuju dengan Umno ini akan turun pada perhimpunan Bersih 5 dan saya yakin kali ini kita akan nampak satu perhimpunan yang memang ketara secara representasi semua kaum akan turun untuk Bersih 5,” katanya.

Konvoi Bersih di seluruh negara menyaksikan beberapa insiden melibatkan Gerakan Baju Merah pimpinan Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Jamal Yunos.
Jamal dan penyokongnya juga terlibat dalam beberapa kejadian ganas ketika menghalang peserta konvoi daripada mempromosikan perhimpunan di Kuala Lumpur pada 19 November.
Perhimpunan kali ini bertujuan memberi tekanan kepada Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan, susulan pendedahan salah laku melibatkan 1MDB.
Jay Jay berkata, kerajaan memang mengharapkan Bersih 5 kali ini dilihat tidak mewakili semua kaum, tetapi pihaknya bertekad menukar persepsi itu.
“Bukan dikuasai untuk satu jenis kaum… sebab (kerajaan) cuba sedaya upaya untuk mainkan isu perkauman untuk Bersih,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA