Selasa, 15 November 2016

Bekas pengerusi SPR tak tolak tanding PRU

Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tan Sri Abdul Rashid Rahman tidak menolak kemungkinan dirinya akan bertanding pada pilihan raya umum (PRU-14) akan datang.
Katanya, beliau tidak akan menolak sekiranya diberi peluang oleh parti serpihan Umno itu untuk bertanding.
Bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia itu berkata demikian ketika diajukan soalan sama ada dirinya berminta bertanding memandangkan usianya yang semakin meningkat.
"Sudah tentu. Kalau mahu tukar negara ini, kita mesti mempunyai kuasa,” katanya kepada wartawan ketika ditemui di Bukit Aman hari ini.
"Kalau saya rasa saya boleh menang di kawasan tertentu, mengapa tidak? ... Saya akan pilih kerusi yang saya boleh menang," katanya.
Merujuk penasihat BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang berusia 91 tahun tetapi masih aktif dalam politik, Abdul Rashid berkata pada usia 74 tahun, beliau bukannya terlalu tua untuk bertanding.
Katanya, beliau akan menggunakan segala ilmnya, termasuk pengetahuan bersama SPR, untuk membantu BERSATU.
"Apa saja ilmu yang saya ada, saya akan gunakan ... bukan untuk menentang kerajaan, tetapi untuk kebaikan negara ini," katanya.
Bagaimanapun Abdul Rashid memaklumkan beliau tidak akan hadir pada perhimpunan BERSIH Sabtu ini atas sebab kesihatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA