Selasa, 1 November 2016

Bekas pegawai bank berkaitan 1MDB kaut RM78j

Bekas pegawai bank yang berkait rapat dengan 1MDB, Yeo Jiawei telah mengaut sejumlah S$26 juta atau RM78 juta pada usia 32, menurut laporan Straits Times Singapura.
Hal tersebut dimaklumkan kepada Mahkamah Singapura dengan bekas kakitangan BSI Bank itu didakwa atas empat pertuduhan antaranya pengubahan wang haram, pemalsuan dan penipuan.
Bekas penyelia Yeo, Kevin Swampillai memberi keterangan dalam perbicaraan tersebut sebagai saksi.
Swampillai mengakui, beliau juga menjana sejumlah S$6.95 juta atau RM21 juta dalam 'keuntungan rahsia' dengan 'melaksanakan pelbagai struktur dan menjalankan urusan kewangan' untuk sekumpulan pelanggan BSI.
Beliau kini menganggur setelah BSI Bank bertindak menggantung pekerjaannya.
Swampillai memberi keterangan tentang bagaimana Yeo bersama-samanya bekerja dengan pihak pengantara untuk menjana 'untung rahsia'.
Tambah beliau, antara punca komisen rahsia tersebut adalah Bridge Partners Management International yang turut mengendalikan 'unit dana' 1MDB.
Satu lagi sumber komisen yang lain, jelas Swampillai, adalah kumpulan wang yang dinamakan Devonshire.
Menurut Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat, Devonshire Capital Growth Fund adalah salah satu daripada tiga dana yang digunakan untuk mengalihkan dana AS$1.59 bilion dari 1MDB Global Investment Limited kepada Tanore Finance.
Beliau juga memberi keterangan bahawa Yeo telah meninggalkan BSI Bank pada tahun 2014 untuk bekerja dengan ahli perniagaan Malaysia bernama Low Taek Jho yang lebih dikenali sebagai Jho Low.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA